KEADAAN kawasan dilanda fenomena air pasang besar, hari ini. FOTO ihsan bomba
KEADAAN kawasan dilanda fenomena air pasang besar, hari ini. FOTO ihsan bomba
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Fenomena air pasang besar yang melanda beberapa daerah bermula hari ini berada dalam keadaan terkawal dan hanya menyebabkan beberapa limpahan kecil.

Bagaimanapun, limpahan berkenaan tidak menyebabkan banjir besar dan tiada pemindahan penduduk dilakukan sehingga kini.

Pegawai Operasi Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor, Muhammad Izzat Haziq Mohd Nazir berkata, di Kuala Langat, sedikit limpahan kecil dikesan melepasi ban di beberapa kawasan di Pantai Morib, Pantai Kelanang, Jeti Kelanang, Jeti Kampung Sawah, hadapan Istana Pantai Bahgia, Taman Harmoni, Kampung Tongkah, Pantai Cunang dan Batu Laut.

"Tiada kawasan penempatan yang terjejas selain ban di pesisir pantai juga kukuh dan dalam keadaan baik.

"Daerah Klang juga mengalami sedikit limpahan melepasi ban iaitu di Sungai Keramat, Kampung Batu 4, Batu 7 Kampung Sementa, Kampung Tok Muda, Pengkalan Nelayan Batu 7 Kampung Sementa, Pengkalan Nelayan Kampung Delek, Jalan Banting Pandamaran, Pengkalan Sungai Udang Kampung Baru Telok Gong, Kampung Tradisi dan Kampung Pendamar," katanya.

Dalam pada itu, fenomena air pasang besar kali ini dijangka berlanjutan selama tiga hari yang mana ketinggian air dijangka pada paras tertinggi iaitu 5.8 meter pada jam 7.50 pagi esok.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2020 @ 12:17 PM