FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis menahan dua wanita yang dipercayai terbabit dengan sindiket penipuan jual beli barangan elektronik melalui akaun Instagram.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Mohd Kanaruddin Md Din berkata, setakat ini, terdapat 64 kes membabitkan akaun Instagram berkenaan sedang disiasat dengan jumlah kerugian RM153,759.

"Siasatan dilakukan mendapati modus operandi yang digunakan sindiket itu adalah dengan mengiklankan pelbagai barangan elektronik pada harga lebih murah berbanding pasaran.

"Pembeli yang berminat kemudian akan diarahkan untuk membuat pembayaran ke dalam akaun diberikan. Namun selepas pembayaran dilakukan, barangan dijanjikan tidak diterima," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Kamruddin berkata, pihaknya menahan dua suspek masing-masing berusia 32 dan 53 tahun yang dipercayai menjadi dalang utama dalam kegiatan berkenaan di Pulau Pinang, pada 9 Ogos lalu.

"Kedua-dua suspek yang juga warga tempatan kini sedang direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan," katanya.

Menurutnya, bagi tempoh sepanjang 2019 hingga semalam, sebanyak 15,785 kes penipuan membabitkan penjualan secara dalam talian direkodkan dengan kerugian lebih RM110 juta.

"Sebanyak 3,512 kes dicatatkan pada 2019 dengan kerugian RM28 juta dan jumlah kes dilaporkan meningkat kepada 5,846 kes pada tahun lalu membabitkan kerugian berjumlah RM41.4 juta.

"Bagi tempoh Januari lalu hingga semalam pula, jumlah kes terus meningkat kepada 6,428 kes dengan kerugian berjumlah RM41.1 juta," katanya.

Beliau menggesa orang ramai supaya lebih berhati-hati dan sentiasa berwaspada apabila membuat pembelian barangan secara dalam talian bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

"Orang ramai digalakkan untuk membuat semakan pengesahan akaun bank dan talian telefon melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ untuk mengenal pasti sama ada akaun bank itu pernah terbabit dengan kes penipuan atau tidak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 5:09 PM