GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Seorang pesara guru kerugian RM109,150.60 selepas diperdaya dua wanita yang kononnya akan membimbingnya dalam urusan pelaburan melalui aplikasi WhatsApp, sejak bulan lalu.

Mangsa yang berusia 62 tahun dipercayai berurusan dengan wanita terbabit yang memperkenalkan diri sebagai pengurus syarikat swasta sejak 10 November sehingga 7 Disember lalu selepas melihat iklan pelaburan melalui Facebook (FB).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, melalui iklan itu, ia menawarkan pulangan berlipat ganda dengan pertukaran wang asing dan bimbingan percuma melalui media sosial.

"Suspek mula memperoleh kepercayaan mangsa dengan mengarahkan mangsa menyerahkan dokumen peribadi iaitu gambar kad pengenalan, lesen memandu dan penyata akaun bank sebagai syarat pendaftaran dalam skim pelaburan.

"Seterusnya mangsa dibekalkan dengan satu pautan URL https://www.gcm-asia.net/my/login/ dan diarahkan membuat pembayaran pertama dan sebagai pendaftaran sebanyak RM424.51 (AS$100)," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Elias berkata, mangsa bagaimanapun terus diperdaya apabila dimaklumkan pelaburan sudah diluluskan dan diberi seorang pembimbing untuk membantu menguruskan pelaburan melalui aplikasi yang dimuat turun dalam PlayStore.

Beliau berkata, ia menyebabkan mangsa membuat lima lagi transaksi secara berperingkat sehingga kerugian berjumlah RM108,727.09.

"Bagaimanapun, mangsa mula menyedari ditipu selepas gagal mendapat pulangan lumayan seperti dijanjikan pembimbing pelaburan pada 4 Disember lalu.

"Mangsa kemudian mengarahkan anak dan isterinya mengeluarkan wang persaraan dari akaun bank mereka untuk tujuan pelaburan sebelum anaknya yang membuat carian maklumat syarikat itu mendapati ia adalah sindiket penipuan," katanya.

Elias berkata, berikutan itu mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu pada 7 Disember lalu.

Katanya, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibuka kerana menipu.

"Sehubungan itu, saya menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terjerat dengan skim pelaburan atas talian yang diiklankan melalui media sosial terutamanya yang menjanjikan pulangan lumayan.

"Pihak PDRM mengingatkan supaya membuat semakan terlebih dahulu dan mendapatkan maklumat lanjut daripada aplikasi Semak Mule atau pautan URL http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ dan Bank Negara Malaysia berkaitan kesahihan akaun bank berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2020 @ 2:47 PM