GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Amanina Suhaini

WANITA berusia 38 tahun yang juga guru kerugian RM387,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai anggota polis trafik.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, mangsa membuat laporan diperdaya sindiket 11.48 pagi semalam.

“Mangsa yang juga guru sekolah rendah menerima panggilan telefon daripada suspek 4 Februari lalu yang memaklumkan mangsa terbabit dengan kes langgar lari.

“Sindiket kemudiannya mengarahkan mangsa membuka akaun bank serta mengaktifkan perbankan Internet baru,” katanya hari ini.

Menurut beliau, mangsa kemudiannya diarahkan memindahkan semua wang ke akaun baru berkenaan.

Ayob Khan berkata, sindiket kemudiannya mengarahkan mangsa merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan pihak lain termasuk keluarga.

“Suspek turut mengarahkan mangsa untuk memadamkan perbualan telefon (aplikasi WhatsApp) dan menghapuskan resit bank yang berkaitan bagi menghilangkan bukti.

“Mangsa tidak menyedari ‘kehilangan’ wang dalam akaun kerana suspek mengawal akaun berkenaan melalui perbankan Internet,” katanya.

Mangsa hanya menyedari diperdaya selepas gagal menghubungi lelaki terbabit.

Wang milik mangsa pula membabitkan simpanannya dan pinjaman peribadi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara 10 tahun, sebat dan denda.

“Kami sudah berulang kali menasihati orang awam supaya tidak terpedaya dengan sindiket Macau Scam dengan tidak panik apabila menerima panggilan sebegini.

“Jangan mudah percaya dakwaan yang diterima melalui panggilan telefon. Jangan sesekali memberikan maklumat peribadi mahupun maklumat akaun bank kepada orang tidak dikenali.

“Agensi penguat kuasa tidak akan sesekali meminta butiran akaun bank dan maklumat peribadi mangsa,” katanya.

Orang ramai boleh melayari laman web www.ccid.rmp.gov.my/semakmule bagi menyemak sama ada akaun bank diberikan sindiket terbabit dengan kes penipuan atau menghubungi balai polis berhampiran untuk kepastian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 4:24 PM