GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh

Shah Alam: Mahu memohon pinjaman wang sebaliknya ditipu sindiket hingga menyebabkan wang berjumlah RM 617,758.70 'hangus' dilarikan penjenayah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) negeri, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, sebanyak 51 kes pinjaman tidak wujud dilaporkan di Selangor sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 bermula 13 hingga 25 Januari lalu membabitkan kerugian berjumlah RM 617,758.70.

Menurutnya, kes berkenaan mengalami peningkatan berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu iaitu 41 kes dengan kerugian berjumlah RM547,686.86.

"Statistik berkenaan menunjukkan peningkatan sebanyak 24.40 peratus dari jumlah kes dan 12.8 peratus dari jumlah kerugian.

"Sepanjang tempoh PKP 2.0 ini, Polis Selangor turut berjaya menahan 14 individu seterusnya menyelesaikan 31 kes pinjaman tidak wujud ini," katanya tadi.

Beliau berkata, modus operandi yang digunakan sindiket pinjaman berkenaan adalah menggunakan medium media sosial seperti Facebook, Instagram dan lain-lain untuk membuat tawaran pinjaman dengan kadar faedah yang kompetitif berbanding institusi kewangan berdaftar.

Katanya, taktik biasa yang digunakan adalah sindiket akan mengarah mangsa untuk membuat pembayaran 'wang pemprosesan' terlebih dahulu sebelum mendapatkan pinjaman yang dipohon.

"Mangsa yang terpedaya akan membuat membuat pembayaran seperti yang diarahkan sebelum sindiket tidak dapat dihubungi mangsa," katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Yazid turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika membuat pinjaman wang terutamanya secara atas talian.

Katanya, semakan perlu dibuat ke institusi kewangan berdaftar yang menawarkan pinjaman wang sebelum melakukan sebarang pinjaman bagi mengelak menjadi mangsa penipuan sindiket pinjaman tidak wujud.

"Orang ramai juga boleh membuat semakan melalui aplikasi SemakMule CCID atau laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/, bagi sebarang urusan membabitkan akaun bank dan nombor telefon sebelum melakukan transaksi kewangan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2021 @ 5:03 PM