Bahrin menunjukkan rakaman gambar ketika operasi Op Noda yang membolehkan 21 individu ditahan langgar SOP. FOTO Ahmad Ismail
Bahrin menunjukkan rakaman gambar ketika operasi Op Noda yang membolehkan 21 individu ditahan langgar SOP. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail


Segamat: Seramai 21 individu dikompaun RM125,000 selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) apabila menyambut parti hari jadi di sebuah pusat ujian vokal di Jalan Yusuf Abdul Rahman, di sini, Ahad lalu.

Semua individu itu dikompaun dalam serbuan Op Noda pada 10.30 malam yang dijalankan sepasukan anggota serta pegawai Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat.

Pengurus premis itu dikompaun RM25,000, manakala individu lain, termasuk lima wanita berusia antara 16 hingga 62 tahun, masing-masing dikompaun RM5,000 kerana melanggar SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa (4).

Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Bahrin Mohd Noh berkata, selain mengeluarkan kompaun itu, lima wanita warga asing Vietnam dipercayai pelayan pelanggan (GRO) ditahan bersama pengurus premis dan seorang pengunjung lelaki.

"Mereka turut berhibur sambil diiringi alunan muzik yang kuat serta membuat bising.

"Pengurus premis turut ditahan selain seorang pelanggan lelaki kerana menghalang petugas penjawat awam sementara GRO berkenaan masing-masing direman selama 14 hari bermula semalam sehingga 12 Disember," katanya ketika sidang media di IPD Segamat, di sini, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan, Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 55B Akta Imigresen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 November 2021 @ 7:02 PM