Antara pelajar Maktab Mahmud menjalani ujian saringan Covid-19 hari ini. Foto Ihsan Pembaca
Antara pelajar Maktab Mahmud menjalani ujian saringan Covid-19 hari ini. Foto Ihsan Pembaca
Noorazura Abdul Rahman

Pendang: Seramai 99 pelajar di asrama Maktab Mahmud, Tobiar di sini, disahkan positif Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, majoriti pelajar yang didapati positif setakat ini adalah membabitkan perempuan dan hanya beberapa orang sahaja membabitkan pelajar lelaki.

"Kes positif ini dikesan selepas terdapat beberapa pelajar perempuan mengalami gejala batuk dan demam, saya difahamkan pelajar ini bergejala ketika mengambil peperiksaan di maktab, jadi selepas tamat peperiksaan mereka menjalani ujian saringan Covid-19 dan didapati positif.

"Ujian saringan kemudiannya dilakukan kepada semua pelajar asrama berkenaan dan pelajar yang positif sudah dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Dewan Wawasan, Jitra dengan menaiki bas hari ini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dr Mohd Hayati yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tokai berkata, pihaknya menjangkakan berkemungkinan kes positif membabitkan pelajar asrama akan bertambah selepas keputusan ujian saringan diketahui esok.

Menurutnya, pelajar yang didapati negatif dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

"Bagi pelajar yang belum dapat keputusan ujian saringan dipakaikan gelang merah jambu dan dikuarantin di asrama.

"Kes ini dinamakan Dah Penyarom kerana lokasi Maktab Mahmud ini adalah di Kampung Penyarom.

"Bangunan asrama dan sekolah ini sudah disanitasi dan dibersihkan sebagai langkah awal, saya baru saja saja meninjau Maktab Mahmud terbabit bersama Pegawai Kesihatan Daerah untuk melihat keperluan dan langkah yang perlu dilakukan selepas ini," katanya.

Hari ini, Kedah mencatatkan peningkatan mendadak kes Covid-19 iaitu sebanyak 403 kes berbanding semalam hanya 268 kes.

Justeru, Dr Mohd Hayati menasihatkan agar penduduk di negeri ini mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi mengelak penularan virus Covid-19 sama ada dalam kalangan komuniti dan sekolah.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 8:57 PM