Muhamaad Razis Ismail


GURU Matematik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini terhadap tuduhan mencabul dua muridnya, Mei lalu.

Tertuduh Rahizani Ibrahim, 42, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyentuh badan kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di dalam kelas sekolah kebangsaan di Bachok pada 10.30 pagi, Mei 2018.

Bagi kesalahan kedua, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama terhadap seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di lokasi sama pada 9 pagi, Mei 2018.

Kedua-dua kesalahan didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dihukum mengikut seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norazlinawati Mohd Arshad manakala tertuduh diwakili peguam Rohizan Othman.

Terdahulu, Norazlinawati tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh kerana dikhuatiri menganggu mangsa.

Bagaimanapun, Rohizan memohon jaminan minimum dibenarkan terhadap anak guamnya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 bagi kedua-dua tuduhan dan menetapkan 2 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 September 2018 @ 12:00 PM
RAHIZANI dibawa ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu bagi menghadapi tuduhan. FOTO Zaman Huri Isa
RAHIZANI dibawa ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu bagi menghadapi tuduhan. FOTO Zaman Huri Isa