PEKERJA swasta mengikuti pembentangan Bajet 2023 secara langsung oleh Tengku Zafrul di Kuala Lumpur. FOTO Saifullizan Tamadi
PEKERJA swasta mengikuti pembentangan Bajet 2023 secara langsung oleh Tengku Zafrul di Kuala Lumpur. FOTO Saifullizan Tamadi
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Peruntukan bernilai RM7.8 bilion bagi Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) kepada 8.7 juta penerima dalam Bajet 2023 disifatkan dapat melegakan rakyat yang terbeban dalam situasi inflasi dan kenaikan harga barang ketika ini.

Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali berkata, ia dapat membantu rakyat dalam fasa pemulihan ekonomi pasca Covid-19.

Menurutnya, bantuan itu juga dilihat ditambah baik melalui kategori baharu yang berdasarkan bilangan anak sekali gus dapat membantu dalam situasi berhadapan kenaikan harga barang ketika ini.

"Pengumuman ini dilihat ada penambahan yang baik dan dapat melegakan sedikit rakyat yang memerlukan dalam mengurangkan beban kewangan mereka.

"Bantuan ditambah berdasarkan kepada ahli isi rumah (anak) sekali gus menunjukkan kerajaan memahami keinginan rakyat, cuma saya sarankan dapat diselaraskan dengan latihan untuk mereka meningkatkan pendapatan," katanya.

Ketika pembentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat, hari ini, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan Bantuan Keluarga Malaysia berjumlah RM2,500 diberikan kepada isi rumah berpendapatan bulanan kurang RM2,500 dan menanggung lima anak atau lebih.

Isi rumah mempunyai seorang hingga empat anak dengan pendapatan kurang RM2,500 pula layak menerima antara RM1,000 hingga RM2,000.

Selain itu, bantuan RM500 hingga RM1,250 layak diberikan kepada isi rumah berpendapatan RM2,500 hingga RM5,000 bergantung kepada bilangan anak.

Bantuan kepada ibu atau bapa tunggal pula dinaikkan kepada RM3,000 berbanding RM2,500 sebelum ini serta bantuan RM600 kepada warga emas tiada pasangan dan RM350 kepada bujang bergantung kepada had pendapatan.

Pada masa sama, sebanyak RM2.5 bilion diperuntukkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebagai bantuan bulanan untuk diagihkan kepada 450,000 isi rumah yang memerlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2022 @ 8:48 PM