GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Kerajaan perlu menyemak semula pengkelasan kumpulan isi rumah negara ini sama ada masih relevan dengan keadaan semasa sebelum melaksanakan penarikan subsidi elektrik kepada T20.

Profesor Madya Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Anuar Shah Bali Mahomed berkata, klafikasi golongan B40, M40 dan T20 perlu dikaji semula mengikut keadaan semasa seperti peningkatan kos sara hidup serta harga barangan.

"Penarikan subsidi elektrik kepada T20 misalnya, tidak boleh dibuat secara pukul rata kerana pendapatan isu rumah T20 bermula RM10,971 dan ke atas.

"Pertimbangan perlu mengambil kira jumlah tanggungan mereka kerana T20 ini ada tahap-tahapnya adakah yang bergaji RM10,971 itu dianggap mewah?

"Dengan kenaikan kos sara hidup dan harga barang, kerajaan perlu semak balik pendapatan isi rumah adakah masih relevan kerana kenaikan ini tak selari dengan kenaikan pendapatan," katanya kepada Harian Metro.

Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai keputusan kerajaan menarik semula subsidi elektrik golongan T20.

Mengulas lanjut beliau berkata, kerajaan juga boleh mempertimbangkan pemasangan sistem solar PV dengan pendekatan bersesuaian dalam usaha mengurangkan kos bulanan bil elektrik.

"Kerajaan boleh memperluaskan pemasangan sistem solar PV dengan mengambil kira mekanisme bersesuaian supaya mampu digunakan sebahagian besar rakyat Malaysia dan bil elektrik akan turun secara signifikan.

"Sungguhpun ketika ini, kos untuk memasang sistem solar PV agak tinggi, namun sekiranya dapat dikenal pasti mekanisme khusus daripada segi pengurusan kos untuk memasang sistem solar PV di rumah iaitu dengan kos mampu untuk dibayar secara bulanan oleh rakyat Malaysia, maka ia satu langkah bagus dan perlu diperluaskan.

"Langkah ini dapat membantu rakyat membayar bil elektrik dengan kadar yang lebih rendah," katanya.

Sementara itu, T20 yang juga usahawan minyak bidara, Habib Shah Md Kassim, 50, berkata, kerajaan perlu memastikan hanya golongan layak saja diberikan subsidi.

"Langkah kerajaan tarik subsidi kepada T20 ini bagus kerana golongan ini kebanyakannya berkemampuan.

"Namun, saya harap pelaksanaannya adil dan telus serta kerajaan perlu pastikan hanya golongan benar-benar layak saja dapat subsidi," katanya.

Kelmarin, Anwar dilaporkan berkata, golongan berpendapatan tinggi atau T20 tidak akan menerima sebarang subsidi sama ada untuk penggunaan elektrik atau menunaikan haji.

Katanya, satu sistem penyelarasan data dikenali sebagai Pangkalan Data Utama (PADU) dijangka siap menjelang akhir tahun ini yang bertujuan menyelaras penilaian agihan subsidi kepada golongan layak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2023 @ 4:59 PM