PENIAGA, Emma Mohamad 40, memberi tumpuan pada pembentangan Bajet 2022 oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Restoran Kopi O Corner, Kuching. FOTO Nadim Bokhari
PENIAGA, Emma Mohamad 40, memberi tumpuan pada pembentangan Bajet 2022 oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Restoran Kopi O Corner, Kuching. FOTO Nadim Bokhari
BERNAMA

Kuala Lumpur: Program Baucar Perlindungan Tenang kepada golongan B40 akan diteruskan tahun depan dengan nilai baucar ditingkatkan daripada RM50 kepada RM75, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, sebagai tambahan, baucar itu boleh digunakan untuk membeli polisi insurans komprehensif bagi motosikal 150cc ke bawah mulai 1 Januari 2022.

"Diharapkan dengan peluasan skop perlindungan ini, kumpulan B40 terutamanya yang menunggang motosikal untuk mencari rezeki akan memperoleh manfaat daripadanya," katanya ketika membentangkan Bajet 2022 bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera, di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu kerajaan juga bercadang memberikan pengecualian duti setem kepada produk Perlindungan Tenang serta produk insurans atau takaful dengan nilai premium atau sumbangan tidak melebihi RM150 bagi individu dan RM250 bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Mengenai mySalam, Tengku Zafrul berkata ia akan diperluas kepada penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dan manfaat tuntutan kos peranti perubatan juga akan dipanjangkan kepada anak tanggungan penerima mySalam yang layak.

Kerajaan juga akan meluaskan penerima manfaat inisiatif i-Saraan dengan merangkumi mereka yang berumur antara 55 sehingga 60 tahun, dan ia akan memanfaatkan lebih 100,000 peserta sedia ada serta baharu, membabitkan peruntukan RM30 juta.

Tengku Zafrul berkata, bagi memberi perlindungan sosial kepada suri rumah dan balu melalui caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), kerajaan menyediakan RM80 juta di bawah Program Kasih Suri Keluarga Malaysia khusus untuk manfaat mereka hingga umur 55 tahun.

Menurutnya, kerajaan juga akan memperluaskan liputan perlindungan sosial negara dengan nilai caruman 80 peratus dan meluaskan manfaatnya kepada sembilan kategori pekerja sendiri baharu antaranya petani, nelayan, penjaja, artis, ejen pelancongan dan petugas pemulihan dalam komuniti.

Bagi membantu individu yang aktif mencari pekerjaan, beliau berkata, kerajaan akan meneruskan pemberian Elaun Mencari Pekerjaan kepada pencarum dan bukan pencarum Perkeso.

Kerajaan juga bercadang meningkatkan kadar pencen minimum di bawah Skim Keilatan daripada RM475 kepada RM550 yang akan membantu 56,000 isi rumah.

"Kerajaan juga bercadang meluaskan pelepasan cukai sehingga RM4,000 kepada pencarum KWSP meliputi caruman secara sukarela seperti mereka yang bekerja sendiri dalam sektor gig.

"Untuk terus menggalakkan pekerja swasta mencarum dengan Perkeso dan melindungi mereka yang hilang pekerjaan, had pelepasan cukai dinaikkan daripada RM250 kepada RM350 dan skop pelepasan bagi caruman Perkeso turut diperluas meliputi caruman pekerja melalui Sistem Insurans Pekerjaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Oktober 2021 @ 5:33 PM