MUHAMMAD Idzam (kiri) menunjukkan gambar serbuan di dua pusat hiburan di Taman Miharja dan Jalan Loke Yew, Cheras, kelmarin.
MUHAMMAD Idzam (kiri) menunjukkan gambar serbuan di dua pusat hiburan di Taman Miharja dan Jalan Loke Yew, Cheras, kelmarin.
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Keseronokan 56 pengunjung berhibur di dua pusat hiburan, di sini, sehingga mengabaikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) membawa padah apabila mereka dikenakan tindakan kompaun, kelmarin.

Serbuan dilakukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras selepas menerima maklumat.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah premis hiburan di Taman Miharja, Cheras, di sini, pada 10 malam.

"Dalam serbuan itu, polis menahan 13 pengunjung dan pemilik premis untuk pemeriksaan di mana pemeriksaan mendapati pemilik menjalankan perniagaan tanpa lesen sah dan dikenakan tindakan kompaun RM25,000.

"Manakala 13 pengunjung warga tempatan dikenakan kompaun RM1,500 setiap seorang membabitkan jumlah keseluruhan RM19,500 kerana melanggar SOP.

"Selain itu, polis turut merampas beberapa peralatan hiburan antaranya satu alat pembesar suara, unit amplifier dan tiga unit mikrofon," katanya pada sidang media di IPD Cheras, di sini, hari ini.

Muhammad Idzam berkata, lelaki disyaki pemilik pusat hiburan dikompaun RM25,000 kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen sah dalam serbuan kedua di Jalan Loke Yew, di sini, pada 11.30 malam.

Menurutnya, seramai 43 pengunjung tempatan yang sedang berhibur dengan mengambil minuman keras ditahan untuk siasatan kerana melanggar SOP.

"Kesemua pengunjung dikompaun RM1,500 setiap seorang berjumlah keseluruhan RM64,500.

"Kita turut merampas peralatan yang digunakan untuk berhibur seperti satu unit amplifier, satu unit mikrofon dan 441 botol minuman keras pelbagai jenama," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(b) Akta Hiburan dan Seksyen 76 Akta Eksais 1976.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 6:26 PM