Pihak polis menyerbu Pusat Hiburan Royal KTV di Jalan Canna, Kuching, kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)  malam tadi. FOTO NORSYAZWANI NASRI
Pihak polis menyerbu Pusat Hiburan Royal KTV di Jalan Canna, Kuching, kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) malam tadi. FOTO NORSYAZWANI NASRI
Norsyazwani Nasri


Kuching: Pihak polis mengeluarkan kompaun berjumlah RM 71,000 terhadap 14 individu termasuk pemilik premis kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana berhibur di sebuah pusat hiburan di Jalan Canna, di sini malam tadi.

Bertindak atas maklumat Pasukan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Kuching membuat serbuan ke pusat hiburan berkenaan pada jam 10.30 malam.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, hasil serbuan mendapati terdapat 12 lelaki tempatan, dan dua wanita termasuk seorang warganegara China sedang berhibur di dalam sebuah bilik khas.

"Susulan itu, kesemua yang ditahan dikompaun RM1,500 seorang di bawah Peraturan 17(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit Pindaan 2021.

"Pemilik premis pula dikompaun RM50,000 di bawah akta yang sama," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menjelas lanjut, katanya, tiga daripada suspek turut didapati positif dadah jenis methamphetamine.

"Ketiga-tiga suspek disiasat di bawah Seksyen 39A(2) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Jun 2021 @ 1:36 PM