Rosyahaida Abdullah


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berjaya mengekang sindiket penjualan barang berjenama tiruan yang berleluasa di ibu negara.

Ia hasil risikan sejak sebulan lalu yang membawa kepada Ops Jeriji bermula 4 petang semalam di Jalan Raja Laut dan Jalan Petaling, Kuala Lumpur.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Azeem Nazuri berkata, tiga serbuan dibuat sepanjang operasi itu dan merampas 2,762 barangan pelbagai jenis bernilai lebih RM1.4 juta.

Antaranya, jam tangan berjenama tiruan yang harga maksimumnya dianggar RM1,000, namun dijual pada harga cecah RM14,000 selain beg tangan, dompet dan kasut tiruan.

“Mereka (sindiket) dipercayai tidak begitu menyasarkan warga tempatan, sebaliknya pelancong asing dan barangan dijual antaranya, dipakaikan cap dagangan secara salah menggunakan jenama Gucci, Michael Kors, Swarovski, Cartier, Dior, Hermes dan sebagainya.

“Hasil operasi, dua wanita tempatan berumur 37 dan 45 tahun ditahan di premis perniagaan yang diserbu di Jalan Raja Laut dan kedua-dua mereka direman selama tiga hari bermula hari ini.

“Manakala serbuan dua lagi stor simpanan tidak membabitkan tangkapan kerana tiada sesiapa di sana,” katanya kepada ketika ditemui, hari ini.

Menurutnya, risikan dan serbuan selepas pihaknya menerima aduan awam dan pemilik cap dagang mengenai kegiatan berkenaan.

Katanya, kegiatan itu ternyata menjejaskan keuntungan pemilik cap dagang dan secara tidak langsung melanggar hak kepentingan pengguna dalam memiliki barangan asli.

“Operasi membabitkan 15 pegawai KPDNHEP WPKL serta beberapa wakil pemilik cap dagang berdaftar.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 102 (1) (b) Akta Cap Dagangan 2019 yang boleh didenda sehingga RM30,000 bagi setiap barang atau dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 January 2020 @ 3:41 PM