Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Menjelang 2024, Malaysia bakal mengeluarkan vaksin influenza untuk manusia berstatus halal menerusi kilang Malaysian Vaccines and Pharmaseutical (MVP) Sdn Bhd, bukan sahaja bagi pasaran tempatan, malah beberapa negara asing.

Pengarah Eksekutif MVP, Rashidah Ibrahim berkata, vaksin itu akan tersedia dan diunjurkan pada tiga tahun pertama, sebanyak 10 juta dos vaksin kuantiti maksimum boleh dihasilkan.

Beliau berkata, langkah hasil inisiatif kerajaan itu relevan sebagai persediaan kesiapsiagaan vaksin negara sekiranya pandemik berlaku lagi pada masa akan datang.

"MVP menjangkakan mampu menghasilkan 10 juta dos menjelang tiga tahun bermulanya roll out pada 2024.

"Kami mempunyai bangunan dua lot kilang dan berbekalkan teknologi sama dan kepakaran kami menghasilkan vaksin haiwan, dalam tempoh kurang dari tiga tahun, kami mampu membekalkan vaksin manusia.

"Kami tiada masalah kerana kebanyakan pekerja di sini mempunyai kepakaran teknikal yang sangat tinggi," katanya pada Majlis Pertukaran Dokumen MVP dan St Petersburg Scientific Research Institutes For Vaccine And Serum Russia, di Puchong, dekat sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Datuk Seri Dr Adham Baba; Ketua Setiausaha Mosti, Datuk Zainal Abidin Abu Hasan; Ahli Lembaga Pengarah MVP, bekas Ketua Pengarah Kesihatan Kementerian Pertahanan Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Panglima Dr Amin Muslan dan wakil Perdagangan Persekutuan Rusia, Nikita Ponomarenko.

Terdahulu, mereka turut melawat makmal pembuatan vaksin MVP di Puchong.

Rashidah berkata, perjanjian dengan St Petersburg memberikan MVP pasaran di Asia Tenggara dan beberapa negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

MVP Sdn Bhd adalah syarikat yang menghasilkan vaksin untuk unggas. Sejak 1994, syarikat berkenaan menghasilkan 16 vaksin unggas di negara ini oleh pakar tempatan.

Ia bukan sahaja untuk pasaran tempatan malah sebahagian besar dieksport ke luar negara

Menurut Rashidah, melalui penubuhan cabang syarikat MVP Healthcare, ia sebagai langkah untuk firma itu untuk menceburi bidang penghasilan vaksin manusia sesuai dengan pengalaman, kepakaran dan teknologi dimilikinya.

Sementara itu, mengenai lawatan di kilang MVP berkenaan, Dr Adham berkata, ia bagi meninjau bagaimana Mosti boleh mengangkat syarikat MVP Sdn Bhd yang sudah beroperasi sejak 27 tahun lalu, untuk maju dan mara ke hadapan supaya boleh menceburi arena pembuatan vaksin manusia.

Beliau berkata, pandemik Covid-19 mendorong kerajaan untuk memberi lebih fokus terhadap memperkukuhkan jaringan keselamatan kesihatan dan keselamatan makanan dengan memberi tumpuan terhadap bidang berkaitan sains, penyelidikan dan teknologi.

Katanya, pandemik yang masih berlangsung ketika ini juga memaksa usaha meliputi aspek inovasi dan kreativiti digandakan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 3:39 PM
ADHAM Baba (tengah) diiringi Zainal Abidin (kanan) dan Pengerusi MVP, Datuk Dr Mohd Nordin Mohd Nor (kiri) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara Pengarah Eksekutif Malaysian Vaccines and Pharmaceuticals (MVP), Rashidah Ibrahim (kanan) dan wakil Perdagangan Persekutuan Rusia, Nikita Ponomarenko (dua dari kiri) ketika melawat makmal pembuatan vaksin MVP di Puchong. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
ADHAM Baba (tengah) diiringi Zainal Abidin (kanan) dan Pengerusi MVP, Datuk Dr Mohd Nordin Mohd Nor (kiri) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara Pengarah Eksekutif Malaysian Vaccines and Pharmaceuticals (MVP), Rashidah Ibrahim (kanan) dan wakil Perdagangan Persekutuan Rusia, Nikita Ponomarenko (dua dari kiri) ketika melawat makmal pembuatan vaksin MVP di Puchong. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM