GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Institut Bioteknologi Negara (NIBM), sudah menandatangani surat hasrat (LoI) dengan Kedutaan Rusia untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan vaksin Covid-19.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Ahmad Amzad Hashim berkata, Dana Pelaburan Langsung Rusia (RDIF) telah memperoleh hak ekslusif sebagai pembekal vaksin Sputnik V, ke seluruh dunia.

"Sputnik V adalah vaksin yang dibangunkan oleh 'Gamaleya National Research Centre of Epidemiology and Microbiology' iaitu agensi yang sama membangunkan vaksin 'Middle East Respiratory Syndrome (MERS)'.

"Ujian klinikal fasa 3 Sputnik V dijangka membabitkan peserta seluruh dunia. Perbincangan lanjut akan diadakan dengan Kedutaan Rusia berkenaan vaksin itu dalam masa terdekat," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan Senator Datuk Razali Idris yang mahukan penjelaskan tentang pencapaian terkini pasukan khas di bawah MOSTI, bagi meneroka peluang dengan negara lain untuk menghasilkan vaksin Covid-19.

NIBM, katanya juga sudah menandatangani LoI dengan Kedutaan Cuba di Malaysia, bagi kerjasama dengan 'Finlay Vaccine Institute (BioCubaFarma)' dan 'Centre of Genetic Engineering and Biotechnology (CIGB)', Cuba untuk mendapat akses kepada vaksin COVID-19 yang sedang dibangunkan.

Selain itu, MOSTI juga mengambil inisiatif untuk terbabit dalam pertubuhan 'Coalition for Epidemic Preparedness Innovations (CEPI)' bagi membolehkan negara mendapat akses kepada pembangunan vaksin, pemindahan teknologi dan kepakaran baharu, kepada penyelidik tempatan.

Ahmad Amzad berkata antara faedah yang diperoleh oleh Malaysia dengan menyertai platform CEPI adalah mendapat keutamaan untuk menyertai ujian praklinikal dan ujian klinikal vaksin baharu, terutamanya apabila berlaku sesuatu wabak.

Selain itu, Malaysia juga akan mempunyai akses kepada data penyelidikan dan pembangunan berkaitan penghasilan vaksin yang dibiayai oleh CEPI, termasuk penyelidikan vaksin kumpulan penyelidik Universiti Oxford.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2020 @ 5:43 PM