Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Sijil vaksinasi dalam MySejahtera tidak boleh dipalsukan berikutan ia menggunakan teknologi 'blockchain' yang tidak boleh disalin atau diulang cetak.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, isu pemalsuan sijil vaksinasi hanya boleh timbul jika pihak pengendali vaksinasi yang boleh mengemas kini MySejahtera menyalah gunakan kuasa.

"Mosti membangunkan Vaccine Management System (VMS) dalam dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) menggunakan teknologi blockchain yang tidak boleh diduplikasi atau langsung dicetak pakai kecuali pengendali menyalahgunakan kuasa dalam hal pemberian sijil.

"Apa yang berlaku ketika ini atau pusat pemberian vaksin (PPV) mana terbabit, kita sudah serahkan kepada polis untuk membuat siasatan dan kita yakin siasatan menjurus kepada masalah integriti jadi kita tunggu hasil keputusan siasatan," katanya ketika sidang media selepas majlis pelancaran Platform E-Skrol Menggunakan Blockchain untuk Graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai penahanan seorang doktor di Marang, Terengganu pada Sabtu lalu selepas dipercayai menawarkan sijil suntikan vaksin Covid-19 palsu di kliniknya.

Mengulas lanjut katanya, teknologi blockchain diyakini selamat dan melindungi data peribadi individu yang divaksin serta ketulenan sijil vaksinasi mereka tidak boleh diragui.

Sijil vaksinasi Covid-19 palsu. FOTO GHAZALI KORI
Sijil vaksinasi Covid-19 palsu. FOTO GHAZALI KORI

Dalam pada itu, beliau berkata, UIAM dengan kerjasama Mosti dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) boleh berkongsi kepakaran dalam pembangunan E-Skrol supaya penggunaannya diperluaskan kepada universiti awam dan swasta dalam dan luar negara.

"Sistem E-Skrol yang dibangunkan dan diperkenalkan oleh UIAM pada hari ini bukan sahaja dapat membantu menangani masalah pemalsuan skrol yang berleluasa, malahan sistem yang dibangunkan berasaskan teknologi blockchain ini juga akan memudahkan pengesahan skrol graduan UIAM yang berada di dalam dan luar negara.

"Kemudahan pengesahan skrol ijazah ini senang diakses oleh alumni UIAM sama ada mereka berada di Malaysia mahupun di luar negara.

"Penggunaannya begitu mudah iaitu graduan, majikan mahupun orang awam yang memerlukan pengesahan hanya perlu mengakses laman portal yang disediakan bagi mendapatkan pengesahan secara dalam talian.

Katanya, dengan adanya sistem E-Skrol yang menggunakan teknologi blockchain ini, Mosti percaya, keyakinan majikan terhadap graduan dapat dipertingkatkan khususnya bagi pengambilan pekerja di organisasi dan syarikat masing-masing.

"Ini secara tidak langsung dapat memberi imej positif bukan sahaja kepada UIAM, malah kebolehpercayaan kepada sistem pendidikan negara juga akan meningkat.

"Mosti berharap platform E-Skrol yang menggunakan teknologi blockchain ini juga dapat diluaskan di lain-lain institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

"UIAM perlu berkongsi kepakaran dan menjadi contoh kepada institusi pengajian tinggi (IPT) lain supaya mereka juga dapat mengadaptasi teknologi sebegini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 January 2022 @ 5:54 PM