Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Malaysia tidak akan hanya tertumpu kepada pembangunan vaksin Covid-19 semata-mata tetapi akan memperluaskan kepada penghasilan vaksin bagi penyakit lain.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) yang dilancarkan hari ini juga akan diperluaskan kepada vaksin bagi penyakit lain antaranya pembangunan vaksin untuk kanser kepala dan leher oleh Pusat Penyelidikan Kanser.

"Negara mempunyai saintis vaksin yang memiliki kepakaran dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) vaksin.

"Saya ucapkan terima kasih kepada saintis yang berada di depan saya ketika ini di atas segala penat lelah selama ini yang menjadi kelompok utama menghasilkan vaksin untuk manusia.

"Melalui pelbagai program yang dilaksanakan kerajaan, kita menjangkakan lebih ramai saintis vaksin dapat dilahirkan, ini sekali gus dapat menyokong pelbagai program dan perancangan kerajaan bagi meningkatkan kemampuan membangunkan vaksin khusus manusia, bukan sahaja untuk kegunaan dalam negara malah untuk pasaran global," katanya ketika berucap melancarkan Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara serta Institut Genom dan Vaksin Malaysia di Bangi, hari ini.

Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) Datuk Seri Dr Adham Baba, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Ismail Sabri berkata, antara usaha yang dilakukan termasuk menerusi syarikat Pharmaniaga menerusi proses pembotolan vaksin Covid-19 iaitu CoronaVac atau lebih dikenali sebagai Sinovac dan syarikat Solution Biologics bagi pembotolan vaksin Convidecia atau dikenali sebagai CanSino.

"Melalui kajian pelan pembangunan vaksin negara oleh Majlis Sains Negara, pelan ini dilaksanakan secara bersama oleh Mosti dan Kementerian Kesihatan (KKM).

ISMAIL Sabri (tengah) ketika Majlis Pelancaran Plan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara dan Institut Genom dan Vaksin Malaysia. FOTO Azhar Ramli
ISMAIL Sabri (tengah) ketika Majlis Pelancaran Plan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara dan Institut Genom dan Vaksin Malaysia. FOTO Azhar Ramli

"Melalui kajian ini, kerajaan bersetuju supaya Mosti memberi fokus terhadap pembangunan dan penyelidikan vaksin tempatan.

"Hasilnya, pada hari ini kita menyaksikan Institut Genom Malaysia (MGI) dinaiktaraf kepada Institut Genom dan Vaksin Malaysia atau Malaysia Genome & Vaccine Institute (MGVI)," katanya.

Menurutnya, naik taraf MGVI ini bersesuaian dengan skop MGI yang memberi tumpuan kepada penyelidikan genom dan biologi molekular dalam usaha penghasilan vaksin.

"Saya yakin, penubuhan MGVI ini dapat memberi kesan positif kepada negara daripada sudut ekonomi, sosial dan teknologi sekali gus menyumbang kepada kestabilan ekonomi kerana tiada kebergantungan kepada sumber bekalan dari luar.

"Melalui pelaksanaan PPVN dan penubuhan MGVI ini, modal insan berkemahiran tinggi dalam pelbagai bidang penyelidikan terutamanya yang berkaitan dengan kesihatan dan vaksin akan dapat dilahirkan.

"Lebih banyak peluang pekerjaan akan dapat diwujudkan untuk Keluarga Malaysia sekaligus membantu meningkatkan jumlah tenaga pekerja mahir dan meningkatkan taraf hidup serta kesihatan rakyat," katanya.

Menurutnya, walaupun pembangunan R&D dan penghasilan vaksin ini adalah pelaburan yang tinggi tetapi ia berpotensi memberikan pulangan jangka panjang buat Keluarga Malaysia melalui penjimatan kos merawat penyakit, selain membawa pelaburan syarikat multinasional ke Malaysia.

"Melalui pelaksanaan PPVN dan penubuhan MGVI, Malaysia juga mampu mencorak laluan dalam mengeluarkan produk vaksin sendiri yang berkualiti, berkesan dan selamat mengikut syarat yang ditetapkan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sekali gus menjadi hab pengeluar vaksin dan meningkatkan keyakinan terhadap penggunaan vaksin.

"Sebagai langkah awal ke arah itu, saya ingin kongsikan pada hari ini, terdapat tiga projek yang bersedia untuk dilaksanakan melalui PPVN iaitu dua jenis vaksin Covid-19 menggunakan virus yang dilemahkan (inactivated) dan mRNA yang dibangunkan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

"Pembangunan vaksin ini akan tertumpu kepada Variant of Concern (VOC) Covid-19 yang terdapat di Malaysia dengan peruntukan yang disalurkan kerajaan iaitu penyelidikan KKM dan SUKUK Prihatin (bantuan khas peruntukan penyelidikan COVID-19) berjumlah RM3.5 juta," katanya.

Katanya, selain itu, vaksin kolera yang dibangunkan hasil kerjasama antara Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST) dengan pembiayaan menggunakan Dana Penyelidikan Strategik (SRF) sebanyak RM10.5 juta bertajuk Development of Mucosal/Oral/Subunit Vaccines Against Cholera, Tuberculosis and Covid-19.

"Projek ketiga, Projek Pre-clinical Evaluation of A Therapeutic Cancer Vaccine for The Treatment of Head and Neck Cancer oleh Cancer Research Malaysia (CRM) berjumlah RM3 juta yang dibiayai oleh Mosti.

"Bagaimanapun, memandangkan tiada kemudahan ujian klinikal iaitu first in human di Malaysia lagi pada ketika ini, maka CRM akan menjalankan ujian klinikal bermula Februari 2022 sehingga Mac 2023 di United Kingdom," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 November 2021 @ 11:38 AM