Pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang melakukan siasatan dan pemeriksaan ke atas Sungai Kubang Semang yang didapati dicemari sisa minyak. FOTO Ihsan JAS Pulau Pinang
Pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang melakukan siasatan dan pemeriksaan ke atas Sungai Kubang Semang yang didapati dicemari sisa minyak. FOTO Ihsan JAS Pulau Pinang
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Sebuah premis penyelenggaraan kenderaan di Jalan Permatang Nibong, di sini, diarah menghentikan pelepasan buangan minyak dan menjalankan kerja-kerja pembersihan tumpahan minyak yang memasuki Sungai Kubang Semang dengan segera bagi mengawal sebarang impak alam sekeliling yang lebih serius.

Arahan serta merta itu dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (Jas) Pulau Pinang selepas turun membuat siasatan ke atas sungai berkenaan malam kelmarin dan pagi semalam berikutan mendapat aduan daripada orang awam.

Pengarah Jas Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, tindakan kompaun berjumlah RM30,000 turut dikenakan ke atas premis berkenaan atas kegagalan mematuhi peruntukan undang-undang di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

"Jas menerima aduan daripada orang awam berhubung pencemaran sisa minyak di sungai berkenaan pada 9.24 malam kelmarin.

"Susulan itu, pegawai Jas turun menjalankan siasatan awal ke atas lokasi pencemaran buangan minyak terbabit yang mana pemeriksaan pada 11 malam kelmarin yang dijalankan sekitar empat kilometer sepanjang sungai itu mengesan kilauan minyak.

"Pemeriksaan pada keesokan harinya pula mendapati pelepasan buangan minyak itu adalah berpunca daripada salah sebuah premis penyelenggeraan kenderaan komersial atau lori berhampiran sungai terbabit," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati pihak premis gagal menyelenggara perangkap minyak dan pemintas minyak dengan baik.

"Hal ini menyebabkan berlakunya pencemaran minyak daripada premis terbabit ke dalam perairan daratan.

"Premis itu yang menjalankan perniagaan kontrak pengangkutan komersial bersama dengan beberapa syarikat petrokimia utama di Malaysia turut didapati gagal menguruskan buangan terjadual yang dihasilkan mengikut kehendak Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

"Selain itu, premis berkenaan juga gagal menyediakan orang yang berwibawa bagi menguruskan buangan terjadual seperti kehendak Seksyen 49A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974," katanya.

Dalam pada itu, Sharifah Zakiah berkata, berkata pemeriksaan pada hari sama juga mendapati parit monsun di dalam kawasan premis turut dicemari buangan minyak yang berpunca daripada pemintas minyak, kawasan penstoran buangan terjadual, dan ruang pembasuhan kenderaan berat.

"Tumpahan minyak turut dikesan di atas tanah berhampiran tangki diesel di dalam kawasan premis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 12:50 PM