PEGAWAI JAS mengadakan pemeriksaan ke atas sebuah kilang pembuatan fabrikasi logam di Perai. FOTO Ihsan JAS Pulau Pinang
PEGAWAI JAS mengadakan pemeriksaan ke atas sebuah kilang pembuatan fabrikasi logam di Perai. FOTO Ihsan JAS Pulau Pinang
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Sebuah kilang pembuatan fabrikasi logam di Kawasan Perindustrian Perai, di sini dikompaun RM32,000 oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang.

Pengarah JAS negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab, berkata kompaun itu dikeluarkan ketika mengadakan pemeriksaan di premis itu semalam.

"Semasa pemeriksaan dijalankan, pegawai JAS mengesan kegiatan premis itu yang membasuh buangan skrap logam yang dicemari minyak mineral terpakai (kod SW 422) dan membuang efluen tanpa rawatan.

"Ia adalah menjadi kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 dan bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 yang mana kompaun RM32,000 dikeluarkan.

"Pada masa sama, arahan penahanan operasi kelengkapan premis turut diambil bagi menghentikan pencemaran perairan daratan daripada berterusan," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Jelasnya, pihak premis juga diarah untuk mengambil tindakan serta-merta bagi memastikan semua buangan terjadual yang dihasilkan diuruskan mengikut perundangan yang berkaitan.

"Semua pengeluar buangan terjadual di negeri ini diingatkan untuk sentiasa menguruskan buangan terjadual yang dihasilkan mengikut tatacara pengurusan yang betul sebagaimana yang ditetapkan Ketua Pengarah Alam Sekeliling," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 January 2022 @ 10:10 PM