PEGAWAI JAS memeriksa sebuah premis yang menjalankan aktiviti peleraian buangan elektrik dan elektronik (e-waste) tanpa lesen. FOTO Ihsan JAS Pulau Pinang.
PEGAWAI JAS memeriksa sebuah premis yang menjalankan aktiviti peleraian buangan elektrik dan elektronik (e-waste) tanpa lesen. FOTO Ihsan JAS Pulau Pinang.
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Sebuah premis yang menjalankan aktiviti peleraian buangan elektrik dan elektronik (e-waste) di Juru, di sini bukan sahaja diarah menghentikan operasi, malah turut dikenakan kompaun sebanyak RM30,000.

Kompaun itu dikeluarkan atas kegagalan premis berkenaan mematuhi peruntukan undang-undang di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pihaknya mengeluarkan kompaun berkenaan selepas mengadakan operasi bersepadu bersama Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) semalam.

"Hasil pemeriksaan pegawai JAS mendapati premis itu beroperasi tanpa apa-apa kebenaran atau lesen daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Justeru, arahan henti operasi serta-merta sudah dikeluarkan kepada pihak premis sehingga siasatan kes selesai selain dikenakan kompaun RM30,000," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, premis itu juga akan disiasat lanjut mengikut Seksyen 18 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana turut beroperasi tanpa lesen dari JAS.

"Jika sabit kesalahan akan dikenakan denda tidak lebih daripada RM 50,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih dari dua tahun atau kedua-duanya.

"Selain itu, premis berkenaan turut akan disiasat di bawah Seksyen 34B akta yang sama dan sekiranya disabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan juga didenda tidak melebihi RM500,000," katanya.

Sharifah Zakiah berkata, JAS negeri memandang serius keperluan pematuhan segala peruntukan undang-undang berkaitan pengurusan buangan terjadual oleh semua pihak.

"Tindakan tegas akan dikenakan ke atas mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan dan perundangan sebagai amaran kepada pihak lain supaya lebih berhati-hati serta tidak melupuskan buangan terjadual dengan sewenang-wenangnya ke tempat yang tidak sepatutnya.

"Sebarang kegagalan akan dikenakan tindakan perundangan yang serius tanpa sebarang kompromi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Oktober 2021 @ 9:00 PM