ROKOK elektronik dan cecair perisa bernilai RM160,350 yang dirampas anggota PGA9 di
ROKOK elektronik dan cecair perisa bernilai RM160,350 yang dirampas anggota PGA9 di
Syaherah Mustafa

Pasir Mas: Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) merampas rokok elektronik dan cecair perisa bernilai RM160,350 di pangkalan haram Jeram Perdah 2, di sini, malam tadi.

Pegawai Pemerintah PGA9, Superitenden Nor Azizan Yusof berkata, dalam rampasan pada 8.30 malam itu, pihaknya menemui 300 rokok elektronik dan 5,614 botol cecair perisa masing-masing bernilai RM45,000 dan RM115, 350.

Beliau berkata, anggota bertugas membuat rondaan terserempak sekumpulan lelaki sedang mengangkut barangan ke perahu dalam keadaan mencurigakan.

"Sebaik anggota mendekati kumpulan itu, mereka melarikan diri menggunakan perahu ke negara jiran dengan meninggal barangan berkenaan.

"Pemeriksaan mendapati kotak cuba diangkat ke perahu itu mengandungi rokok elektronik dan cecair perisa disyaki untuk dibawa ke negara jiran melalui jalan tidak diwartakan.

"Kami merampas semua barangan untuk dibawa ke Balai Polis Jeram Perdah bagi siasatan lanjut sebelum diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan dan kes disiasat mengikut Sekyen 9 Akta Racun 1952," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, rokok elektronik dan cecair perisa diseludup ke Thailand kerana ia mendapat permintaan tinggi di negara itu selain nilainya lebih mahal berbanding di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 November 2021 @ 9:00 PM