TEKONG menggunakan kenderaan jenis Toyota Alphard untuk membawa Pati dari Thailand ke Selayang, Kuala Lumpur. FOTO Ihsan PGA9
TEKONG menggunakan kenderaan jenis Toyota Alphard untuk membawa Pati dari Thailand ke Selayang, Kuala Lumpur. FOTO Ihsan PGA9
Syaherah Mustafa

SEORANG lelaki warga tempatan yang juga tekong mengenakan bayaran sebanyak RM350 seorang untuk membawa pendatang asing tanpa izin (Pati) dari pangkalan haram sepanjang Sungai Golok ke Selayang, Kuala Lumpur.

Kegiatan tekong berusia 47 tahun itu bagaimanapun dikesan pihak berkuasa apabila dia ditahan oleh anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) ketika sedang membawa Pati di Kampung Bagus, Rantau Panjang pada jam 6 pagi tadi.

Pegawai Pemerintah PGA9 Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, ketika kejadian itu, anggotanya sedang membuat tugas rondaan di Jalan Lubok Jong, Rantau Panjang sebelum terserempak dengan kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Alphard yang dipandu suspek.

"Kenderaan ini dilihat dalam keadaan mencurigakan. Anggota kami cuba menahan kenderaannya namun suspek memecut sehinggalah dia berhenti di bahu jalan dan menyerah diri.

"Sebaik memperkenalkan diri sebagai polis, anggota kami memeriksa kenderaan dan mendapati terdapat sembilan lelaki di bahagian penumpang belakang dipercayai Pati warga Thailand yang mana kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

"Hasil siasatan awal ke atas tekong terbabit, dia mengaku mengambil kesemua Pati ini di pangkalan haram Bilal Dollah untuk dihantar ke Selayang pada awal pagi bagi mengelak bertembung dengan pihak berkuasa," katanya.

Nor Azizan berkata, anggota bertugas menahan suspek serta kesemua Pati termasuk kenderaan yang dinaiki mereka dan dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tujuan siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 26(J) Atipsom 2012 dan Seksyen 6(1)(C) Imigresen 1959/63.

"Pelbagai taktik digunakan tekong bagi memastikan kegiatan penyeludupan Pati berjalan lancar, malah mereka sanggup bersekang mata membawa Pati pada lewat malam atau awal pagi untuk mengelak bertembung dengan pihak berkuasa.

"Namun, PGA9 sentiasa berwaspada dan menjaga kawalan sempadan tidak kira masa bagi mengekang segala kegiatan penyeludupan atau aktiviti jenayah rentas sempadan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2020 @ 9:49 PM