GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah Kuala Muda yang menempatkan 162 mangsa banjir kilat dari 39 keluarga ditutup hari ini.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana APM Kedah Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusof berkata, PPS itu yang dibuka sejak malam tadi adalah PPS Dewan Kampung Bukit Belah di Batu 2, PPS Surau Taman Kenari dan PPS Masjid AL Huda di Kampung Jerung.

Menurutnya, kesemua PPS berkenaan ditutup pada 1 tengah hari ini dan semua mangsa banjir dibenarkan pulang ke rumah masing-masing berikutan air sudah surut.

Terdahulu, media melaporkan hujan lebat lebih tiga jam di daerah ini turut mengakibatkan beberapa mukim, kampung dan taman perumahan berlaku banjir kilat yang dilaporkan pada 8.16 malam.

Sebanyak empat mukim di daerah itu dinaiki air membabitkan 15 kampung dan dua kawasan perumahan yang menyebabkan 291 keluarga terjejas dinaiki air.

Antara lokasi terjejas adalah di Mukim Pekula, Kampung Kepala Bukit dan Kampung Masjid di Mukim Pinang Tunggal, Kampung Kilang Macau dan Mukim Sidam Kiri.

Selain itu, Mukim Sungai Petani membabitkan Kampung Gelugur, Kampung Bukit, Kampung Tepi Sungai, Kampung Raja, Kampung Raja Watt Siam, Kampung Bengki, Kampung Bukit Sera, Kampung Haji Wahab, Kampung Bukit Belah, Kampung Titi Mandi Lembu, Taman Kenari Jaya dan Taman Kampung Raja.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 4:15 PM