GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kegiatan seorang lelaki terbabit dalam aktiviti pemalsuan dokumen pengenalan diri yang digunakan untuk pendaftaran talian telefon prabayar mengundang padah apabila ditahan polis, kelmarin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamaruddin Md Din berkata, suspek berusia 32 tahun ditahan di sebuah rumah di Kota Bahru, Kelantan.

Menurutnya, turut dirampas adalah tiga unit telefon bimbit pelbagai jenama, enam keping sim kad dan beberapa peralatan komputer.

"JSJK mengesan wujudnya aktiviti pemalsuan dokumen pengenalan diri yang digunakan untuk pendaftaran talian telefon prabayar.

"Melalui siasatan, suspek didapati mengubahsuai butiran kad pengenalan miliknya dengan memasukkan maklumat pelanggan pascabayar yang berdaftar dengan sebuah syarikat telekomunikasi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Kamaruddin berkata, kad pengenalan itu kemudiannya digunakan untuk membuka akaun baru (prabayar) di syarikat telekomunikasi sama.

Beliau berkata, selepas akaun baru dibuka, suspek mendaftarkan nombor ke dalam aplikasi disediakan syarikat telekomunikasi.

Menurutnya, selepas pendaftaran berjaya, sistem akan beranggapan nombor baru itu adalah milik pelanggan sedia ada dan membenarkan transaksi pemindahan kredit dari nombor pascabayar ke nombor prabayar ditentukan suspek.

"Sehingga kini, syarikat telekomunikasi berkaitan mengalami kerugian RM3,882 akibat pemindahan kredit secara tidak sah ini.

"Suspek direman sehingga 23 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan polis percaya dengan penahanan suspek, sekurang-kurangnya lapan kes membabitkan modus operandi sama berjaya diselesaikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Oktober 2021 @ 5:12 PM