Amir Abd Hamid

Bangi: Sekumpulan penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menggerakkan Sekretariat Mana Kolej Kami (MKK) untuk memperjuangkan nasib kira-kira 2,000 mahasiswa terkesan akibat tidak mendapat penempatan kolej kediaman terutamanya dalam kalangan keluarga B40.

Mahasiswa tahun akhir jurusan Sains Politik, Sharifah Umairah Syed Mustaffa, 21, berkata pihak Sekretariat MKK mengambil beberapa langkah awal menghadapi isu itu dan turut menggesa pihak Naib Canselor UKM menjadikan isu itu sebagai agenda utama bagi menjaga kebajikan mahasiswa melalui enam cadangan.

Antara cadangan, katanya, adalah penubuhan Majlis Eksekutif Pelajar (MEP) kediaman luar kampus bagi mengintegrasikan data dan kebajikan pelajar tinggal luar kampus.

"Menetapkan garis masa proses membaik pulih empat pangsapuri UKM supaya dapat didiami oleh mahasiswa pada semester dua sesi 2022/2023 bagi mengatasi masalah ketidakcukupan kediaman serta membina jalinan kerjasama bersama kerajaan negeri untuk menampung usaha itu.

"Membangunkan sistem pengurusan kolej yang berpusat dan memastikan sistem merit yang sudah siap diuji dapat beroperasi sebelum tamat semester satu sesi 2022/2023. Menyediakan pengangkutan bas di lokaliti perumahan dengan populasi pelajar UKM yang tinggi untuk ke kampus.

"Pengecualian caj penginapan kepada pelajar yang sedang mewakili universiti dalam sebarang pertandingan untuk menginap di kolej/rumah tamu, menyediakan bantuan one-off kepada pelajar yang menginap di luar kampus untuk meringankan beban bayaran rumah sewa," katanya dalam sidang media, di sebuah restoran sini, hari ini.

Terdahulu Sekretariat MKK bergerak dari masjid itu bagi melakukan sesi penyerahan memorandum dan petisyen kepada Naib Canselor UKM berhadapan Persada Canselori universiti itu namun dihalang pihak keselamatan UKM, malah media yang membuat liputan juga diminta beredar.

Namun, Pengarah Bahagian Keselamatan UKM, Mejar (Bersara) Datuk Asri Ahmad yang turut hadir, menerima penyerahan memorandum dan petisyen berkenaan sebagai wakil pentadbiran daripada Sharifah Umairah mewakili Sekretariat MKK.

Sekretariat MKK pada sidang media selepas menyerahkan memorandum dan petisyen kepada Naib Canselor UKM di Bangi. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Sekretariat MKK pada sidang media selepas menyerahkan memorandum dan petisyen kepada Naib Canselor UKM di Bangi. FOTO Mohd Fadli Hamzah

Penuntut Sarjana Muda Pendidikan dengan Kepujian dalam Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL), Raja Muhammad Arif Afifuddin Raja Ahmad Iskandar, 20, berkata sebagai golongan belum bekerja mereka tersepit dengan perbelanjaan apabila terpaksa tinggal di rumah sewa.

"Sebagai contoh saya, jurusan yang online (dalam talian) sepenuh masa. Jadi memerlukan WiFi atau Internet. Di kawasan Hentian Kajang tempat saya menyewa atau digelarkan 'Kolej Hentian Kajang' adalah kurang kondusif untuk capaian Internet terbaik," katanya.

Sementara itu, UKM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menawar dan menyediakan penginapan kepada 12,920 pelajar di kolej kediaman bagi Sesi Akademik 2022/2023.

Data terkini yang diterima oleh Pusat Perumahan Pelajar (PPP) UKM sehingga 27 Oktober 2022 adalah seramai 12,420 iaitu sebanyak 96 peratus yang sudah mendaftar di kolej kediaman.

Katanya, baki kekosongan akan ditawarkan kepada 550 pelajar tahun pertama ambilan kedua bermula 25 hingga 31 Oktober 2022.

Menurutnya, seperti mana diamalkan di semua Universiti Awam (UA), penginapan pelajar di kolej kediaman diberi keutamaan kepada pelajar tahun pertama dan baki kekosongan pula akan dibuka kepada pelajar senior.

"Berdasarkan rekod, hampir 90 peratus pelajar prasiswazah kini ditawarkan penginapan di dalam kampus. UKM cakna dengan keperluan untuk menambah lagi penginapan bagi pelajar.

"Hasil perbincangan dan lawatan bersama kepimpinan universiti dan Kesatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (KMUKM) ke Pangsapuri Taman Tenaga dan Kolej Idris Al-Marbawi bersetuju untuk melaksanakan proses naik taraf premis berkenaan yang usang atau rosak, akan dilaksanakan secara berperingkat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2022 @ 7:06 PM