GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi

Sepang: Polis sudah membuka kertas siasatan berhubung kes pencemaran bau seakan pelarut di Sungai Selangor yang diumumkan Lembaga Urus Air Selangor (Luas).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, pegawai penguat kuasa Luas membuat laporan polis pada jam 3 petang ini mengenai pencemaran yang dikesan di Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang.

Menurutnya, siasatan awal pihak Luas mendapati air di loji disyaki mengandungi bahan solvent hingga ke tahap 8 ton.

"Berikutan daripada itu bekalan air terpaksa ditutup hingga kerja pembersihan selesai.

"Sehubungan dengan itu Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan gangguan bekalan air tidak berjadual di tujuh wilayah bermula 6 petang tadi berikutan pencemaran bau seakan pelarut di Sungai Selangor.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri dilaporkan berkata, LRA Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas susulan pencemaran itu.

Menurutnya, sehingga jam 2.30 petang tadi pencemaran di muka sauk LRA Rantau Panjang pada tahap 8 ton dan LRA SSP1, 2 dan 3 pula pada tahap 4 ton.

Katanya, henti tugas keempat-empat loji itu dijangka akan menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual membabitkan 1,139,008 akaun merangkumi 1,279 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat yang mana bekalan air akan ditutup bermula 6 petang.

Berita berkaitan

Harap gangguan bekalan air tidak berlaku lama

Tindakan sabotaj mungkin punca pencemaran air

Gangguan bekalan air Lembah Klang mulai 6 petang ini

Empat LRA henti tugas akibat pencemaran bau

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 November 2020 @ 8:18 PM