Iskandar Shah Mohamed


PENGURUSAN Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) belum dapat memastikan tempoh pemulihan bekalan air ekoran insiden pencemaran bau di sumber air mentah Sungai Selangor.

Ia berikutan kemungkinan insiden itu berulang kerana punca pencemaran masih tidak dikesan, setakat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Suhaimi Kamaralzaman berkata, pihaknya mengesan pencemaran bau di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 yang terpaksa dihentikan, antara 2 hingga 2.30 petang tadi.

“Berikutan insiden itu membabitkan henti tugas tiga loji utama dengan skala kawasan terjejas yang besar, kami mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan Kod Merah (ERP Kod Merah).

“Kami juga sudah memaklumkannya kepada kerajaan negeri dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) selain menghubungi Unit Bencana negeri bagi membantu menangani situasi itu.

“Pada jam 5 petang tadi, kadar bau di muka sauk LRA Sungai Selangor Fasa 3 mencatatkan

bacaan bau ton sifar dan kembali beroperasi. LRA 1 dan 2 baru saja mencatatkan ton sifar pada jam 7 petang dan dalam proses pengoperasian semula,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Kata Suhaimi, Air Selangor dan pihak berkuasa negeri masih tidak dapat mengesan punca

pencemaran dan insiden itu berkemungkinan boleh berulang.

“Oleh demikian, kami tidak dapat memberikan jangka masa pemulihan bekalan air buat masa ini.

“Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang dihadapi oleh semua pelanggan akibat insiden berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, perancangan bagi kerja pembaikan LRA Sungai Selangor Fasa 1 yang dijadualkan pada Selasa minggu depan turut ditangguhkan.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan sebanyak 1,133 kawasan membabitkan 1,166,842 pemegang akaun di ibu negara dan Selangor akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan pencemaran bau di Sungai Selangor.

Kawasan yang terjejas termasuk di Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Maklumat dan status terkini gangguan bekalan air itu boleh disemak menerusi www.syabas.com.my atau menerusi aplikasi Air Selangor.

Berita berkaitan

1.1 juta pengguna putus bekalan air

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 9:53 PM