PULAU Pangkor, gambar fail. FOTO NSTP
PULAU Pangkor, gambar fail. FOTO NSTP
Noor Hidayah Tanzizi
am@hmetro.com.my


Lumut: Orang ramai yang berhasrat untuk berkunjung ke Pulau Pangkor, di sini, digalakkan menempah tiket feri secara dalam talian bagi mengurangkan kesesakan di Jeti Lumut dan Jeti Marina Island.

Operator Feri Jeti Lumut Rositah Abdul Razak berkata, tempahan tiket feri secara dalam talian kurang memberangsangkan dan setakat ini hanya 30 peratus menggunakan kaedah itu.

"Ramai yang lebih memilih secara 'walk-in' (jumpa terus) atau pembelian terus di kaunter dan tempahan tiket secara dalam talian kurang sambutan.

"Kami menggalakkan mereka membeli secara dalam talian yang lebih mudah sekali gus mengelakkan kesesakan dan memudahkan mereka mendapat tempat duduk," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rositah berkata, susulan kebenaran rentas negeri bermula Isnin lalu, perkhidmatan feri ke pulau peranginan berkenaan menyediakan enam trip perjalanan di kedua-dua jeti bermula semalam berbanding tiga trip sebelum ini.

Katanya, mereka juga dalam permohonan untuk menambah tiga trip lagi sebagai persediaan cuti hujung minggu dan cuti am, Selasa ini dijangka menerima lebih ramai kemasukan pengunjung.

"Penambahan itu untuk mengelakkan kesesakan dan orang ramai berkumpul terlalu lama di ruang menunggu. Sejak semalam orang luar dari negeri ini sudah mula masuk untuk balik kampung dan esok pula dijangka ramai pelancong masuk ke Pulau Pangkor.

"Semalam sebanyak 1,400 kemasukan ke Pulau Pangkor direkodkan di Jeti Lumut dan Jeti Marina Island. Jadi kita menjangkakan hujung minggu ini peningkatan 2,000 hingga 2,500 orang sehari," katanya.

Menurutnya, sebagai pihak pertama menerima pelancong, mereka akan memastikan pengunjung yang hadir mematuhi syarat dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa.

"Pastinya kita hanya membenarkan mereka yang lengkap divaksin (lengkap dua dos suntikan vaksin selepas tempoh 14 hari dari tarikh suntikan dos kedua) dan menunjukkan sijil digital.

"Biarpun ujian saringan Covid-19 tidak diwajibkan tetapi pelancong dan mereka yang mahu pulang ke kampung digalakkan melakukan saringan kendiri sebagai langkah berjaga-jaga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Oktober 2021 @ 12:06 PM