PENGANGKUTAN feri membawa pelancong ke Pulau Pangkor.
PENGANGKUTAN feri membawa pelancong ke Pulau Pangkor.
Noor Hidayah Tanzizi

Lumut: Pengumuman Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai disambut baik penduduk dan pekerja di pulau peranginan itu.

Pengecualian cukai itu tidak termasuk barangan seperti minuman keras, rokok dan kenderaan bermotor, namun status baharu pulau berkenaan membawa pelbagai manfaat dan disifatkan dapat memacu penambahan ekonomi penduduk pulau peranginan terbabit dan penduduk sekitar.

Kapten feri Bahtiar Baharum, 31, berkata, perubahan status pulau itu dapat menarik lebih kunjungan pelancong ke Pulau Pangkor yang sememangnya menjadi tumpuan ramai.

“Setiap minggu memang ramai pelancong datang ke sini membabitkan trip biasa enam perjalanan pergi dan balik pada Jumaat, Sabtu dan Ahad,” katanya.

Menurutnya, setakat ini pengangkutan feri mencukupi dengan ada yang mampu memuatkan seramai 160 penumpang seperti yang dikendalikannya dan ada juga boleh memuatkan 208 penumpang.

Penjaga tiket feri Suhaila Zainudin, 28, berkata, pertumbuhan ekonomi akan semakin rancak dengan berita gembira itu biarpun ada item yang dikecualikan dan pasti ada item lain yang boleh diketengahkan oleh pihak berkaitan.

“Usaha ini akan menaikkan sektor pelancongan di Pulau Pangkor dan penjualan tiket juga akan lebih meningkat kerana feri adalah pengangkutan utama ke situ,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perwakilan Penduduk Pulau Pangkor Asmadi Teh, 54, berkata, penduduk pulau terbabit perlu merebut peluang yang ada seperti berniaga kecil-kecilan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2017 @ 7:50 AM