PANTAI Chenang, Langkawi. FOTO Luqman Hakim Zubir
PANTAI Chenang, Langkawi. FOTO Luqman Hakim Zubir
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Syarikat Ferrylines Ventures Sdn Bhd menyediakan perkhidmatan lima trip perjalanan ke Langkawi bermula Sabtu ini berikutan sambutan menggalakkan dari pelancong.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi, Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Baharin Baharom, tiga trip feri dari Terminal Feri Kuala Perlis, manakala dua trip lagi dari Terminal Feri Kuala Kedah.

Beliau berkata, sebelum ini, hanya dua feri disediakan untuk perjalanan dari Kuala Perlis dan satu trip di Kuala Kedah, namun ia ditambah disebabkan permintaan penumpang.

Katanya, pihaknya menjangkakan 3,000 pelancong akan menggunakan perkhidmatan feri penumpang ke pulau itu Sabtu ini.

"Kita dapati penumpang sudah mula membuat tempahan tiket feri ke Langkawi berikutan kelonggaran merentas negeri yang diumumkan kerajaan, baru-baru ini.

"Kita jangkakan penambahan pelancong akan terus berlaku dan akan merancakkan kembali sektor pelancongan ke Pulau Langkawi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Baharin berkata, bagaimanapun, prosedur operasi standard (SOP) perlu dipatuhi oleh penumpang dengan wajib memakai pelitup muka serta mematuhi penjarakan fizikal ketika berada di terminal.

"Selain itu, pastikan semua pelancong yang hendak mengunjungi Langkawi perlu lengkap dua dos suntikan vaksin dan lengkap tempoh matang selepas menerima suntikan dos kedua.

"Namun, sekiranya ada individu yang tidak sihat dan mempunyai gejala Covid-19, kita nasihatkan tangguh dulu perjalanan dan menjalani ujian pengesanan Covid-19 sama ada ujian saringan RT-PCR atau RTK-Antigen terlebih dahulu," katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan tiket secara tempahan melalui dalam talian atau ke kaunter jualan tiket feri di dua terminal berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Oktober 2021 @ 9:28 AM