MEMENUHI ‘gian’ memancing. FOTO Ihsan Rockbund Fishing Chalet
MEMENUHI ‘gian’ memancing. FOTO Ihsan Rockbund Fishing Chalet
Nurul Husna Mahmud

SAMBIL duduk di rumah sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, apa kata kita tinjau keunikan Pulau Marina, Perak.

Pulau Marina antara pulau buatan yang mungkin tidak sepopular Pulau Pangkor kerana fokus pembinaannya sebagai destinasi beristirehat atau persinggahan pelayar serata dunia.

Namun begitu, ia sentiasa terbuka untuk kunjungan orang ramai yang mahu merakam foto berlatarkan kapal layar mewah.

Mengenai sejarah pulau ini pula, kerja penambakan sudah bermula sebelum 2012 lagi bagi membina 1,301 hektar kawasan persisiran pantai Teluk Muroh yang juga terletak tidak jauh daripada destinasi pantai popular iaitu Teluk Batik.

Pembinaan pulau buatan itu oleh Marina Sanctuary Resort Sdn Bhd sahaja mengambil masa lima tahun bagi perancangan dan kajian lengkap dalam memastikan pembangunannya tidak mengganggu alam sekitar dan ekosistem.

Satu-satunya jalan menghubungkan Marina Island dengan tanah besar di Teluk Muroh adalah jambatan sepanjang 400 meter.

PULAU buatan manusia. FOTO Ihsan Rockbund Fishing Chalet
PULAU buatan manusia. FOTO Ihsan Rockbund Fishing Chalet

Pengalaman penulis kali pertama mengunjungi pulau berkenaan kira-kira lima tahun lalu adalah semata-mata untuk menaiki feri ke Pulau Pangkor.

Dari jeti Pulau Marina ke Pulau Pangkor hanya memakan masa 10 minit berbanding dari jeti Lumut yang memerlukan penumpangnya untuk menunggu hingga 30 minit.

Tidak sempat bermalam kerana ketika itu fasiliti penginapannya kelihatan terlalu mewah untuk percutian bajet.

Baru-baru ini, penulis dan keluarga berkesempatan bercuti dan bermalam di Rockbund Fishing Chalet yang terletak dalam pulau berkenaan.

Paling teruja, pastinya bapa penulis selaku kaki pancing tegar yang tidak melepaskan peluang memancing dari dermaga yang dibina di pesisiran pantai itu.

KONTENA bertukar menjadi inap desa berwarna-warni. FOTO Ihsan Rockbund Fishing Chalet
KONTENA bertukar menjadi inap desa berwarna-warni. FOTO Ihsan Rockbund Fishing Chalet

Demi keselesaan kaki pancing membawa keluarga, chalet yang dibina berkonsepkan inap desa dibina daripada kontena yang sudah diubah suai cantik sangat selesa dihuni dalam kumpulan yang besar.

Jika tidak bermalam pun, pengunjung boleh menikmati makan malam di kafe berkenaan sambil menikmati pemandangan senja cukup indah.

Kebetulan chalet didiami kami sekeluarga terletak tidak jauh dari dermaga yang juga pelantar ‘kecil’ untuk kaki pancing parkir joran masing-masing, kami masih boleh mendengar ombak menghempas batu.

Turut memiliki fasiliti lengkap seperti kemudahan dewan dan kafe di lokasi itu, sayangnya kawasan terbabit tidak sesuai untuk mandi.

Bagaimanapun, mereka yang bermalam di lokasi itu terpaksa memandu ke destinasi lain seperti Teluk Batik untuk melakukan aktiviti rekreasi air antaranya mandi.

Namun itu tidak menjadi masalah kerana jadual percutian anda masih boleh dipenuhi dengan aktiviti barbeku sambil diterangi lampu hiasan sekitar kawasan penginapan berkenaan.

Bagi mendapatkan cenderamata, pengunjung boleh memandu sejauh 12 kilometer ke pekan Lumut untuk membeli-belah cenderamata atau hasil laut kering untuk dibawa pulang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2020 @ 7:50 AM