MOHD Kamarudin. FOTO Arkib NSTP
MOHD Kamarudin. FOTO Arkib NSTP
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) berjaya menumpaskan dua sindiket 'Ah Long' dikenali sebagai kumpulan Ah Wee dan Ricky dalam operasi khas di sekitar Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Pahang, kelmarin.

Pengarah JSJK Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, seramai 44 individu termasuk ketua kumpulan serta anggota sindiket itu berjaya ditahan dalam serbuan berasingan itu.

"Semua mereka adalah warga Malaysia terdiri daripada 43 lelaki dan seorang wanita berusia antara 16 hingga 54 tahun.

"Kita turut merampas 17 kereta pelbagai jenis, 107 telefon pintar, 55 kad ATM, 27 keping cek, 17 set komputer riba, tiga mesin pencetak, 234 set iklan 'banner' pinjaman wang, satu tin cat merah, satu tin semburan cat merah dan parang.

"Selain itu, kita merampas satu kotak iklan kad nama, wang tunai RM732 dan sejumlah dokumen berkaitan dengan aktiviti pemberi pinjaman wang sehingga kini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Kamarudin berkata, 13 kertas siasatan dibuka berkait pembabitan sindiket ini dalam aktiviti pemberi pinjaman wang.

"Berdasarkan siasatan, sindiket ini dikesan mula beroperasi pada awal 2021 dan mensasarkan golongan peniaga, kakitangan kerajaan dan swasta.

"Penawaran pinjaman dibuat melalui media sosial, risalah dan poster dengan kadar faedah antara 10 peratus hingga 30 peratus seminggu.

"Peminjam yang gagal membuat pembayaran balik akan diberi tekanan berbentuk ugutan dan ancaman seperti perbuatan khianat terhadap harta benda milik peminjam," katanya.

Menurutnya, dengan tertumpasnya sindiket itu semua mereka disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951, Seksyen 29(B) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951, Seksyen 506, 420, 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, Seksyen (4)(1) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLATPUAA 2001) dan Akta Pencegahan Jenayah 1959.

"Sebagai langkah pencegahan, orang ramai yang menerima panggilan meragukan dinasihatkan jangan terpedaya dan sentiasa berwaspada dengan tawaran iklan pinjaman wang dengan memastikan hanya membuat pinjaman wang dari syarikat peminjam wang berlesen dengan institusi kewangan diiktiraf serta berdaftar dengan Bank Negara Malaysia.

"Orang ramai juga boleh membuat semakan dan pengesahan lesen berdaftar syarikat pinjaman wang berlesen dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melalui laman sesawang www.kpkt.gov.my," katanya.

Beliau berkata, orang ramai diseru mengambil tahu, 'like and share' berkenaan modus operandi jenayah komersil yang terkini dengan melayari Facebook rasmi JSJK bagi mengikuti perkembangan trend jenayah komersil dan tips berguna pencegahan daripada menjadi mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mac 2022 @ 6:37 PM