FABIO Quartararo. FOTO AFP
FABIO Quartararo. FOTO AFP
Agensi

Paris: Fabio Quartararo mengakui keputusannya untuk kekal bersama Yamaha bukan mudah tetapi cara kerja baharu pasukan pengeluar itu sejak Januari lalu membuatkannya masih percaya dengan Yamaha.

Sebagai pelumba Yamaha sejak debut pertama di MotoGP pada 2019 bersama pasukan Petronas, Quartararo meraih tiga kemenangan untuk pasukan satelit pada 2020 sebelum merangkul kejuaraan dunia dengan pasukan pengeluar pada tahun berikutnya.

Namun, dia dan jentera M1 tidak memenangi sebarang perlumbaan sejak musim panas 2022, menyaksikannya menduduki tempat pertama pada 2021, kedua (2022) dan kemudian ke-10 pada tahun lalu dalam kedudukan kejuaraan dunia.

"Keputusan saya (untuk menandatangani semula dengan Yamaha) tidak mudah, tetapi saya rasa meninggalkan pasukan ketika anda masih percaya kepada mereka juga adalah salah.

"Saya sangat percaya kepada Yamaha, saya sangat percaya kepada diri sendiri dan saya tahu kami akan kembali bangkit," kata Quartararo kepada MotoGP.com.

"Adalah penting bagi saya untuk mengetahui masa depan saya dan keputusan yang saya buat adalah jelas berdasarkan kepada cara kami bekerja dari Januari hingga sekarang.

"Ia adalah sesuatu yang saya tidak lihat dalam dua tahun lalu dan satu revolusi di dalam pasukan.

"Saya sangat gembira melihat jurutera baharu, termasuk jurutera Jepun, mengubah sepenuhnya cara bekerja dan pemikiran mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2024 @ 11:48 AM