GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Oleh Mary Victoria Dass


JOHOR BAHRU: Seramai 49 pelanggan premis di bandar raya ini dikompaun RM73,500 akibat gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, operasi yang dijalankan bermula jam 8 malam hingga 1 pagi membabitkan pemeriksaan di tujuh premis.

Beliau berkata, keseluruhannya seramai 103 individu yang diperiksa dan seramai 49 berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun didapati melakukan kesalahan melanggar SOP ditetapkan.

Menurutnya, ia termasuk tidak menjaga penjarakan fizikal ketika berada di dalam premis dan tidak mengimbas kod QR.

"Setiap individu yang gagal mematuhi SOP dikenakan kompaun sejumlah RM1,500 seorang atau keseluruhan RM73,500,"

Raub berkata, daripada premis yang diperiksa itu didapati empat daripadanya dikesan gagal menyediakan laluan keluar masuk dan gagal melaksanakan penjarakan fizikal pelanggan.

"Pemilik premis dikenakan tindakan kompaun sejumlah RM10,000 setiap seorang dengan jumlah RM40,000.

"Keseluruhan kompaun yang dikenakan terhadap 32 lelaki dan 21 wanita termasuk empat pemilik premis adalah sejumlah RM113,500," katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Oktober 2021 @ 7:05 PM