Pegawai penguat kuasa KPDNHEP melakukan pemantauan SOP. FOTO ihsan KPDNHEP
Pegawai penguat kuasa KPDNHEP melakukan pemantauan SOP. FOTO ihsan KPDNHEP
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Seramai 2,262 pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) digerakkan bagi memantau prosedur operasi standard (SOP).

Menerusi kenyataan media, kementerian itu memaklumkan, pemantauan itu dijalankan di premis perniagaan peruncitan, pemborongan, pengedaran dan restoran.

Menurutnya, sejak pelaksanaan penguatkuasaan pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Akta 324 digerakkan pada 13 Mei sehingga semalam sebanyak 615, 996 premis sudah diperiksa seluruh negara.

"Sebanyak 574 kompaun dikenakan ke atas pesalah yang tidak mematuhi SOP yang ditetapkan.

"Berdasarkan statistik itu, pematuhan dalam sektor perdagangan pengedaran boleh dikatakan berada pada tahap yang memuaskan dengan 98.54% premis patuh kepada SOP ditetapkan," katanya hari ini.

Katanya, bermula 1 Jun sehingga semalam, sebanyak 44,903 premis diperiksa dan menghasilkan sejumlah 388 kes yang dikenakan ke atas pesalah membabitkan syarikat dan individu yang gagal mematuhi pematuhan SOP yang berkuatkuasa mengikut Akta 342 dengan nilai kompaun sejumlah RM2,141,500.

"Sebanyak 132 aduan diterima daripada orang awam bagi tempoh sama dan semuanya disiasat sepanjang tempoh PKP 3.0.

"Kerjasama semua pihak dalam sektor perdagangan dan pengedaran khususnya perlu diperkukuh untuk mengimbangi kelangsungan ekonomi domestik Negara dan mengawal penularan Covid-19 serta memastikan kesihatan rakyat terus terjamin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Jun 2021 @ 6:53 PM