BAWANI (dua kanan) memeriksa tanda penjarakan fizikal di kaunter pembayaran sebuah pasar raya di Georgetown. FOTO Zuhainy Zulkiffli
BAWANI (dua kanan) memeriksa tanda penjarakan fizikal di kaunter pembayaran sebuah pasar raya di Georgetown. FOTO Zuhainy Zulkiffli
Zuhainy Zulkiffli

WALAUPUN tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) belum berakhir, namun ada pemilik premis dan orang awam didapati gagal mematuhi prosedur standard operasi (SOP) penjarakan fizikal.

Malah, tindakan pemilik premis yang tidak mengutamakan penjarakan meja menyebabkan pelanggan juga turut mengabaikan SOP itu.

Pegawai Kesihatan Persekitaran dari Bahagian Pelesenan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) M Bawani berkata, tindakan itu dikesan sepanjang menjalankan operasi pematuhan sejak Jun lalu.

Namun, katanya, pematuhan SOP lain seperti pengambilan suhu badan, pemakaian pelitup muka dan merekod butiran pelanggan berada pada tahap memuaskan.

"Penjarakan fizikal adalah paling sukar dipatuhi, baik dalam kalangan pemilik premis dan pengendali makanan atau orang awam berikutan saiz premis dan jumlah pelanggan yang berbeza.

"Perlu diingatkan penjarakan meja di dalam premis masih lagi sebanyak dua meter, manakala penjarakan fizikal adalah satu meter," katanya.

Bawani berkata demikian ketika ditemui dalam Operasi Pematuhan SOP Covid-19 di sekitar Jalan Gurdwara, Jalan Dato Keramat dan Lebuh King di Georgetown, hari ini.

Dalam operasi dari 2.30 petang hingga 4 petang itu, sebanyak lima premis diperiksa terdiri tiga premis makanan dan masing-masing satu pasar raya dan kedai kopi.

Menerusi tinjauan terbabit, Bawani berkata, tiada kompaun dikeluarkan tetapi ia lebih kepada mahu mendidik pemilik premis dan orang ramai supaya kekal mematuhi SOP yang ditetapkan.

"Sejak 10 Jun sehingga semalam, sebanyak 42,714 premis di bawah MBPP sudah diperiksa dan didapati 42,348 daripadanya mematuhi SOP yang ditetapkan.

"Manakala 366 premis lagi gagal mematuhi SOP, namun tahap kepatuhan premis di bahagian pulau negeri ini masih dalam keadaan memuaskan iaitu 99.14 peratus," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2020 @ 8:43 PM