Seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun berjaya menyelamatkan dua adiknya dalam kejadian kebakaran di sebuah rumah di Pulau Meranti, Puchong, hari ini.
Seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun berjaya menyelamatkan dua adiknya dalam kejadian kebakaran di sebuah rumah di Pulau Meranti, Puchong, hari ini.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Puchong: Tindakan berani kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun berjaya menyelamatkan dua adiknya dalam kebakaran di sebuah rumah di Pulau Meranti, di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 10 pagi itu, kanak-kanak terbabit membawa keluar dua adik lelakinya berusia lapan tahun dan setahun.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada 10.15 pagi.

"Susulan itu satu jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cyberajaya dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Pasukan penyelamat tiba pada 10.37 pagi dan melakukan kerja-kerja pemadaman di kawasan kebakaran," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Norazam berkata, pemeriksaan mendapati berlaku kebakaran di bilik stor rumah teres dua tingkat berkenaan dan 10 peratus kebakaran berlaku di bilik terbabit sebelum api dipadamkan.

Beliau berkata, ketika kejadian terdapat tiga kanak-kanak di dalam rumah, seorang daripadanya mengalami sesak nafas dan dua lagi tidak cedera.

Menurutnya, difahamkan ibu bapa kanak-kanak terbabit keluar bekerja ketika kejadian dan kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun itu berjaya menyelamatkan dua adiknya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Oktober 2021 @ 1:18 PM