ABDUL Razak dan Intan bersama lima cucunya yang kehilangan ibubapa disebabkan Covid-19. FOTO Samadi Ahmad.
ABDUL Razak dan Intan bersama lima cucunya yang kehilangan ibubapa disebabkan Covid-19. FOTO Samadi Ahmad.
SamadiAhmad


Seri Kembangan: "Walaupun menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi sejak 20 tahun lalu, saya yakin dapat menggalas tanggungjawab menjaga lima cucu ini kerana ia amanah daripada Allah," kata Abdul Razak Basiron.

Abdul Razak ,67, bapa kepada arwah Ida Haryanie, 38, yang meninggal dunia Khamis lalu akibat Covid-19 berkata, dia tidak pernah menganggap ia sebagai bebanan kerana mahu kesemua cucunya yang berusia antara tiga hingga 11 tahun berjaya dalam kehidupan dunia dan akhirat.

Dia yang tinggal di Taman Botani, Bukit Tinggi, Klang kini berpindah ke rumah cucunya di Kota Perdana di sini mengakui tanggungjawab itu amat berat tambahan isterinya, Intan Sulaiman, 63, turut menghidap kencing manis sejak setahun lalu.

Namun, pesara Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) itu berkata, dia dan isteri akan dibantu enam anak lain yang tinggal di sekitar Lembah Klang.

"Saya mempunyai lima anak perempuan dan seorang lelaki yang sudah berumahtangga, malah hubungan mereka sangat rapat dengan cucunya ini termasuk anak mereka juga ada yang sebaya.

"Pada hujung minggu mereka akan datang secara bergilir-gilir sekiranya tidak mempunyai urusan bagi menemani kami bagi membantu meringankan tekanan emosi lima beradik ini.

"Saya akan berusaha mendidik dengan penuh kasih sayang dan memberi pendidikan agama sehingga mereka dewasa dan berjaya.

"Seandainya ditakdirkan saya sudah tiada, tanggungjawab ini diamanahkan kepada anak tunggal, Mohd Ariff Hafizan, 36, bagi meneruskan amanah sehingga mereka dewasa kerana dia satu-satunya waris lelaki keluarga," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Harian Metro hari ini melaporkan kisah sedih lima beradik yatim piatu selepas ibu mereka, Ida Haryanie meninggal dunia Khamis lalu manakala bapa mereka, Mohd Nasir Tahal, 46, meninggal dunia 11 Ogos lalu selepas kedua-duanya menerima rawatan di Hospital Putrajaya akibat Covid-19.

Lima kanak-kanak yatim piatu ini adalah Muhammad Hadhrami, 11, Husna Humaira, 9; Muhammad Harraz, 7; Muhammad Hawwas, 6, dan Hannan Humaira, 3.

Sementara itu Intan berkata, kali terakhir dia berjumpa arwah anak dan menantunya dua hari sebelum menyambut Aidil Fitri lalu ketika menziarahi mereka di Seri Kembangan.

Katanya, dia reda dengan ketentuan Ilahi kehilangan dua ahli keluarga yang disayangi, pada masa sama akan berusaha menjaga kesemua cucunya dengan kudrat yang ada.

Menurutnya, Ida Haryanie yang mesra dengan panggilan 'along' dalam keluarga dan arwah menantunya sangat mengambil berat mengenai keluarga dan sering membantu adik beradik yang berhadapan kesusahan.

"Saya sering menyediakan masakan asam pedas kerana ia menjadi makanan kegemaran 'along' dan suaminya.

"Namun, selepas mereka tiada air mata saya akan mengalir setiap kali menyediakan masakan itu untuk anak-anak lain kerana teringatkan mereka berdua, "katanya.

Berita berkaitan:

  • Covid-19 rentap jiwa 5 beradik
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Oktober 2021 @ 4:43 PM