DATUK Ismail Sabri meluangkan masa menziarahi lima kanak-kanak yatim piatu kehilangan ibubapa disebabkan Covid-19 di Kota Perdana, Seri Kembangan hari ini. FOTO ihsan pembaca
DATUK Ismail Sabri meluangkan masa menziarahi lima kanak-kanak yatim piatu kehilangan ibubapa disebabkan Covid-19 di Kota Perdana, Seri Kembangan hari ini. FOTO ihsan pembaca
Samadi Ahmad


Putrajaya: Lima beradik yatim piatu gembira selepas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, melawat dan beramah mesra dengan mereka di kediaman mereka di Kota Perdana, Seri Kembangan di sini, hari ini.

Bapa saudara mereka, Mohd Ariff Hafizan Abdul Razak, 36, berkata, dia terkejut apabila dihubungi dan dimaklumkan yang Perdana Menteri akan berkunjung ke kediamannya untuk beramah mesra dengan lima beradik berkenaan.

"Kami seolah-olah tidak percaya yang Perdana Menteri muncul di depan rumah kami. Kami cukup terharu dengan perkara itu.

"Perdana Menteri tiba jam 12 tengah hari dan beredar kira-kira sejam kemudian. Perdana Menteri turut memberi nasihat kepada lima beradik ini selain menghulurkan sejumlah sumbangan buat mereka," katanya.

Menurut Mohd Ariff Hafizan, selain menzahirkan ucapan takziah kepada kami sekeluarga, Ismail Sabri juga menyatakan akan membantu lima beradik berkenaan dari semasa ke semasa.

"Terima kasih Datuk Seri Ismail Sabri kerana sudi meluangkan masa menyantuni anak-anak syurga ini dan menyumbang rezeki buat mereka," katanya.

Bukan sekadar Ismail Sabri malah menurut Mohd Ariff Hafizan, ramai juga yang datang untuk melawat lima beradik berkenaan.

Lima beradik ini dijaga oleh datuk dan nenek mereka, Abdul Razak Basiron, 67, serta Intan Sulaiman, 63.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan kisah sedih lima beradik yatim piatu selepas ibu mereka, Ida Haryanie, 38, meninggal dunia 7 Oktober lalu manakala bapa mereka, Mohd Nasir Tahal, 46, meninggal dunia 11 Ogos lalu selepas kedua-duanya menerima rawatan di Hospital Putrajaya akibat Covid-19.

Lima beradik itu membabitkan Muhammad Hadhrami, 11, Husna Humaira, 9, Muhammad Harraz, 7, Muhammad Hawwas, 6, dan Hannan Humaira, tiga tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Oktober 2021 @ 5:59 PM