NASIRAH (kanan) memangku Adwa Maisarah sambil diperhatikan kakak arwah Shahrizal, Jamilah Harun, 35. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
NASIRAH (kanan) memangku Adwa Maisarah sambil diperhatikan kakak arwah Shahrizal, Jamilah Harun, 35. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi


“KAMI sekeluarga nekad mahu menjaganya hingga akhir hayat dan tidak akan serah kepada orang ramai walaupun ramai mahu menjadikannya sebagai anak angkat.”

Begitu kata Nasirah Mat Taib, 45, ibu kepada Siti Nor Fazirah Amran, 26, yang maut dalam kemalangan di Jalan Sitiawan-Teluk Intan, Sitiawan pada 15 Februari lalu.

Dalam kejadian pada 8.40 malam, suami Siti Nor Fazirah iaitu Sharizal Harun, 28, turut maut selepas motosikal ditunggang mereka dilanggar sebuah kereta.

Kematian suami isteri itu menjadikan anak tunggal mereka Adwa Maisarah, lima bulan, bergelar yatim piatu dan kini dijaga neneknya.

Nasirah berkata, dia sekeluarga reda dengan kehilangan itu dan sudah sepakat untuk memelihara Adwa Maisarah bersama-sama.

Menurutnya, dia bersama keluarga besannya sudah mencapai kata sepakat untuk menjaga Adwa bersama-sama.

“Walaupun hasrat individu itu (mahu jadikan Adwa Maisarah anak angkat) tidak disampaikan terus kepada saya, namun saya tidak akan sesekali berbuat demikian.

“Ini kerana arwah Angah (Siti Nor Fazirah) mahu saya menjaga anaknya sebaik mungkin.

“Saya bukan orang senang, tetapi akan cuba memberikan kemewahan kasih sayang dan perhatian kepada Adwa Maisarah,” katanya memberitahu arwah anak dan menantunya sebelum ini tinggal bersamanya.

Terdahulu, Nasirah menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang Datuk Rashidi Ibrahim bagi menyampaikan cek faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di Kampung Sungai Limau, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Pejabat PERKESO Manjung Mohd Shaperi Md Salleh.

Bercerita mengenai Adwa Maisarah selepas dua minggu kehilangan ibu bapanya, Nasirah berkata, dia tahu cucunya itu merindui arwah meskipun masih kecil.

Katanya, dia sentiasa menunjukkan gambar kedua-dua arwah kepada Adwa Maisarah setiap kali bayi itu menangis untuk mengurangkan rasa kerinduan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2018 @ 8:57 PM