RASAI pelbagai keseronokan saat bercuti di Primaland Port Dickson Resort & Convention Centre.
RASAI pelbagai keseronokan saat bercuti di Primaland Port Dickson Resort & Convention Centre.

Gelagat si anak yang sedang membina istana pasir sememangnya mencuit hati. Masing-masing berebut memungut pasir untuk membina istana pasir yang paling tinggi untuk ditunjukkan kepada si ibu yang hanya memerhati dari jauh.

Kelibat si bapa yang lengkap berpakaian pejabat membuatkan kanak-kanak itu berlari riang mendekatinya.

Terpancar wajah kegembiraan mereka kerana dapat meluangkan masa bersama pada cuti sekolah yang sing­kat ini walaupun si bapa terpaksa berkerja pada waktu pagi.

Itulah panorama menarik saat berkunjung ke resort yang mempunyai pantai buatan manusia terbesar di negara ini, Primaland Port Dickson Resort & Convention Centre (PRCC).

Terletak di Batu 13, Pasir Panjang, Port Dickson, Negeri Sembilan, PRCC atau dulunya dikenali Tiara Beach Resort bukan saja memberikan keseronokan bermain air di taman tema air, tetapi mewujudkan suasana peranginan tepi laut mempesonakan.

Selain itu, PRCC yang mempunyai pantai buatan dan kolam mandi bersaiz lima kali ganda kolam Olimpik ini kini menjadi pusat konvensyen terbesar di Negeri Sembilan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PRCC, Datuk Dr Kelvin Cheong, PRCC membuat penjenamaan semula dan penambahbaikan dalam pelbagai segi termasuk menaik taraf 300 bilik kepada suite.

“Kini, pengunjung boleh memilih tiga jenis bilik iaitu bilik hotel, suite dengan satu bilik dan ‘family suite’ dengan dua bilik.

“Bilik ini lebih berkonsepkan ‘family & kids’ yang menjadikan kanak-kanak sebagai tetamu VIP,” katanya.

Pihaknya meningkatkan pusat percutian itu untuk menjadikannya lokasi seminar serta konvensyen.

“Grand Prima Ballroom ialah ballroom terbesar di Port Dickson yang boleh memuatkan 1,500 orang dan 16 bilik pelbagai guna, menjadikan PRCC pusat konvensyen terbesar di Negeri Sembilan,” katanya.

Sudah menerima 32 anugerah sepanjang sembilan tahun termasuk Malaysia Book of Record dengan pantai buatan terbesar di Malaysia, PRCC tetap menitikberatkan keseronokan pengunjungnya di taman tema airnya.

Menurutnya, kolam renang yang sebesar lima kali ganda berukuran Olimpik itu kini menjadi lebih menarik dengan penyediaan pelbagai permainan baru terutama ‘Splash Island’ di tengah-tengah taman tema itu.

“Pecahan kolam di taman tema itu dengan Kolam Air Terjun dan Gelongsor, Kids Paradise & Pirate Ship Adventure, Kolam Aktiviti dan Leisure Pool menambah keseronokan pengunjung.

“Penambah baik kemudahan di taman tema itu selaras dengan moto PRCC iaitu bukan sekadar resort, sebaiknya resort keluarga holistik berjiwa kanak-kanak,” katanya.

Resort dengan moto ‘Best for Family & Meeting’ ini turut menyediakan pelbagai kemudahan lain antaranya bilik karaoke, jakuzi luar, bilik permainan, kiosk basikal dan teater terbuka.

Untuk menjamu selera, anda boleh memilih beberapa restoran, antaranya Prima Kitchen 1, Prima Kitchen 2, Beach Cafe, PD Local Street Food Restaurant dan Anna Thai Restaurant.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2015 @ 5:27 AM