KAWASAN pantai yang didakwa adanya aktiviti 'lelaki lembut' membuat ‘reunion’ dan berbogel di sini petang semalam. FOTO Mohd Khidir Zakaria
KAWASAN pantai yang didakwa adanya aktiviti 'lelaki lembut' membuat ‘reunion’ dan berbogel di sini petang semalam. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria

AKTIVITI perjumpaan semula sekumpulan lelaki lembut di Pantai Batu 9 di Port Dickson, yang tular dalam media sosial semalam, mengundang kebimbangan orang ramai.

Kenyataan yang dimuat naik pengguna Facebook semalam menerima pelbagai reaksi negatif netizen yang tidak bersetuju dengan tindakan kumpulan itu.

Tinjauan NSTP pagi tadi mendapati tiada sebarang aktiviti dijalankan di pantai terbabit kerana dipercayai kumpulan ini sudah meninggalkan kawasan ini lewat petang semalam.

Menurut pengusaha bot berusia 20-an yang enggan dikenali berkata, lebih 30 orang lelaki yang berperwatakan wanita berkumpul dan beriadah di sini.

“Mereka berkumpul, mandi dan bersuka ria sesama mereka tetapi tidak seorang pun yang menyewa bot kami. Aktiviti mereka menimbulkan rasa geram orang ramai.

“Memang ada beberapa pengunjung yang datang ke sini tidak selesa kerana kumpulan lelaki lembut itu tanpa segan silu membuka seluar dalam dan baju serta menjerit sesuka hati,” katanya ketika ditemui di Port Dickson, hari ini.

Katanya, kumpulan itu mula berkumpul pada 2 petang dan semakin ramai sehingga mereka beredar sekitar 6 petang.

Seorang pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Rodziah, 45, berkata aktiviti riadah bersama keluarganya di pantai ini hari ini terpaksa dibatalkan berikutan lokasi itu sedang dipantau.

“Kami menginap di sini dan pastinya mahu aktiviti sukaneka diadakan di pantai tetapi apabila diberitahu adanya aktiviti kurang sihat oleh sekumpulan lelaki lembut, kami hanya dapat melakukan aktiviti di kawasan resort.

“Saya amat berharap supaya adanya pemantauan pihak berkuasa tempatan jika ada kumpulan pengunjung yang melakukan aktiviti tidak sihat di sekitar kawasan pantai di Port Dickson. Pengunjung luar tolonglah, jangan cemarkan kawasan pelancongan ini,” katanya yang datang dari Teluk Intan, Perak.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya akan memantau kejadian tersebut namun setakat hari ini tiada laporan diterima pihak polis.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 November 2018 @ 1:00 PM