Foto hiasan
Foto hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Jumlah pesakit sembuh Covid-19 di Malaysia terus mengatasi jangkitan baharu apabila 18,074 kes sembuh dilaporkan berbanding 13,899 kes baharu yang direkodkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif individu sembuh daripada wabak berkenaan kini mencapai 1,968,541 orang.

Menurutnya, terdapat 1,071 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) merangkumi 847 kes disahkan Covid-19 manakala 224 kes disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

"Sebanyak 601 kes memerlukan bantuan pernafasan membabitkan 359 kes disahkan Covid-19, manakala 242 kes disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan," katanya dalam kenyataannya hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah kes baharu yang dilaporkan hari ini, 13,688 kes atau 98.5 peratus dalam kategori satu dan dua iaitu tidak bergejala atau gejala ringan, manakala baki 211 kes atau 1.5 peratus adalah kategori tiga, empat serta lima.

Beliau berkata, daripada jumlah kes baharu itu juga, enam adalah kes import, manakala 13,893 kes penularan dalam negara.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak 12 kluster baharu dikesan membabitkan enam kluster tempat kerja, masing-masing dua kluster komuniti dan kumpulan berisiko serta masing-masing satu kluster pendidikan serta keagamaan.

Menurutnya, data kematian pula akan dimuat naik dan dipaparkan menerusi laman GitHub dan laman sesawang CovidNow di https://covidnow.moh.gov.my.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 September 2021 @ 7:36 PM