Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Mahaizura Abd Malik dan Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Seramai 10,000 anggota Skuad Keluarga Malaysia bersiap sedia digerakkan ke segenap pelusuk negara bagi membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah berkenaan dijangka bertambah apabila lebih banyak kementerian dan agensi serta sukarelawan Keluarga Malaysia mendaftarkan diri dan menyertai skuad terbabit.

Katanya, Skuad Keluarga Malaysia yang dilancarkan hari ini akan menyelaras semua mekanisme penyampaian bantuan kepada rakyat yang memerlukan di seluruh negara di bawah satu jentera.

"Skuad Keluarga Malaysia ini akan diterajui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

"Ia kolaborasi pelbagai agensi di bawah kementerian berbeza, pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)," katanya ketika melancarkan Skuad Keluarga Malaysia sempena Prapelancaran #KeluargaMalaysia di Wisma Angkasapuri RTM di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim serta barisan jemaah menteri.

ISMAIL Sabri (tiga kiri) bersama Annuar (tiga kanan), Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun (dua kiri), Menteri Perpaduan Negara Halimah Mohamed Sadique (dua kanan), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (kiri) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad menunjukkan vest Keluarga Malaysia pada majlis pra-pelancaran . FOTO Aizuddin Saad

Beliau berkata, setiap kementerian dan agensi kini sedang giat mengenal pasti produk yang bersesuaian untuk diangkat menjadi sebahagian usaha membantu rakyat bagi memastikan kejayaan idea Keluarga Malaysia.

"Ini adalah langkah untuk menyemai budaya khidmat, berorientasikan prestasi bagi meringankan beban Keluarga Malaysia, yang memerlukan bantuan dan sokongan.

"Dalam usaha ini, kerajaan akan memastikan setiap produk Keluarga Malaysia memberi impak positif seperti yang diharapkan," katanya.

Menurutnya, kerajaan turut memperkenalkan mekanisme Keberhasilan Kebahagiaan (Key Happiness Outcome - KHO) yang juga pelengkap kepada Petunjuk Prestasi Utama (KPI).

"Garis panduan ini akan dibentuk berasaskan nilai sejagat sedia ada, termasuk Indeks Kebahagiaan yang diguna pakai kebanyakan negara di seluruh dunia," katanya.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Oktober 2021 @ 5:22 PM