Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Ramadan 2021 yang kini sudah masuk tahun ke-14 mendapat kerjasama daripada Kedai Ayamas, untuk membantu golongan kurang bernasib baik menjalani ibadah puasa.

Menerusi kerjasama itu, anak syarikat milik Kara Holdings Sdn Bhd terbabit memberikan sumbangan berjumlah RM20,000 berbentuk barangan keperluan makanan dan set nasi Ayamas untuk diagihkan kepada sembilan rumah kebajikan terpilih di seluruh negara.

Pengarah Eksekutifnya, Abd Rahman Md Dawi berkata, pihaknya berbesar hati kerana dapat menjalin kerjasama buat kali pertama dengan Harian Metro menerusi TKHM.

"Kami amat bersyukur dan berterima kasih kerana diberikan peluang oleh Harian Metro untuk bersama-sama menyantuni masyarakat yang kurang bernasib baik.

"Semoga sumbangan kecil ini akan dapat meringankan sedikit bebanan yang dihadapi mereka dan berharap program ini sebagai permulaan untuk kami menyantuni golongan terbabit," katanya ketika ditemui selepas Pra Pelancaran TKHM Ramadan Bersama Kedai Ayamas di Balai Berita NSTP, Bangsar di sini, hari ini.

HUSAIN Jahit (tiga dari kiri) menerima replika tajaan yang disampaikan Abd Rahman Md Dawi (tiga dari kanan) sambil diperhatikan Mustapha Kamil Janor (dua dari kiri) dan Mohamad Izham Mohamad Haroun (dua dari kanan) ketika majlis pra-pelancaran TTKHM Ramadan Bersama Kedai Ayamas di Balai Berita, Bangsar. FOTO Hairul Anuar Rahim
HUSAIN Jahit (tiga dari kiri) menerima replika tajaan yang disampaikan Abd Rahman Md Dawi (tiga dari kanan) sambil diperhatikan Mustapha Kamil Janor (dua dari kiri) dan Mohamad Izham Mohamad Haroun (dua dari kanan) ketika majlis pra-pelancaran TTKHM Ramadan Bersama Kedai Ayamas di Balai Berita, Bangsar. FOTO Hairul Anuar Rahim

Turut hadir Pengarah Eksekutif Operasi Berita dan Editorial Media Prima/Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Bhd, Mustapha Kamil Mohd Janor; Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit dan Pengarang Berita Harian Metro merangkap Pengarah Projek TKHM, Noor Azam Abd Aziz.

Program TKHM Ramadan 2021 akan bermula Khamis ini sehingga 28 Mei di sembilan rumah kebajikan di Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Lembah Klang, Terengganu dan Johor.

Sementara itu, Husain berkata, TKHM akan dijalankan sepanjang Ramadan sehingga menjelang Syawal bagi membantu golongan memerlukan.

"Tahun ini Harian Metro menyambut ulangtahun ke-30 dan TKHM adalah antara program yang dirancang untuk tahun ini.

"Sesuai dengan usia 30 tahun ini, kami sentiasa mengambil pendekatan proaktif untuk mendekati masyarakat dan menyelami kehidupan golongan kurang bernasib baik," katanya.

Bagaimanapun, katanya, berikutan situasi pandemik Covid-19 yang masih melanda di negara ini, pemilihan rumah kebajikan dibuat dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

TKHM adalah suatu program tanggungjawab sosial untuk membantu keluarga miskin, anak yatim, ibu tunggal dan mangsa bencana alam dengan memberi bantuan berupa barangan keperluan asas dan kelengkapan harian.

Program berbentuk amal itu sebahagian daripada usaha Harian Metro dan penaja untuk merapatkan hubungan dengan masyarakat setempat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 April 2021 @ 12:33 PM