Kawasan Hutan Simpan Ibam dibersihkan untuk aktiviti melombong bijih besi secara haram. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Kawasan Hutan Simpan Ibam dibersihkan untuk aktiviti melombong bijih besi secara haram. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Muadzam Shah: Kegiatan melombong bijih besi secara haram terbongkar berikutan penemuan lori dan jengkaut di kawasan seluas dua hektar di Kompartmen 220 Hutan Simpan Ibam, di sini, kelmarin.

Aktiviti itu dikesan anggota penguat kuasa Pejabat Hutan Daerah (PHD) Rompin dan anggota Unit Penguat kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Pahang Timur ketika melakukan rondaan.

Pegawai PHD Rompin, Shairani Mamat berkata, siasatan mendapati syarikat terbabit ada membuat permohonan kerja melombong bijih besi, tetapi belum mendapat kelulusan.

Menurutnya, ketika pemeriksaan, pihaknya turut menemui tujuh jentera termasuk lori untuk melakukan aktiviti melombong di hutan simpan terbabit.

Katanya, kawasan seluas dua hektar yang diceroboh terletak di luar kawasan permohonan lesen dan aktiviti berkenaan dipercayai masih baru dilakukan.

"Ketika serbuan dilakukan, mereka sempat melarikan diri denggan bersembunyi di dalam hutan dan gagal dikesan anggota penguat kuasa.

"Pemeriksaan di kawasan lombong terbabit menemui tiga lori dan empat jengkaut dipercayai digunakan untuk membersih kawasan serta memindahkan bahan galian di kawasan terbabit," katanya.

Menurutnya, pihaknya merujuk perkara itu kepada Pegawai Penguat kuasa JPNP Zon Timur berhubung kegiatan terbabit dan mendapati ia dilakukan di luar kawasan lesen.

Katanya, berikutan itu pihaknya menyita lori dan jengkaut berkenaan untuk tindakan lanjut.

"Hutan Simpan Ibam menjadi tumpuan kegiatan melombong bijih besi serta emas, dan kita akan melakukan rondaan dari semasa ke semasa bagi membendung kegiatan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Oktober 2021 @ 6:02 PM