Anggota JBPM menaiki helikopter membuat pencarian bot yang dinaiki lima individu yang hilang di laut sejak Ahad lalu. FOTO IHSAN JBPM
Anggota JBPM menaiki helikopter membuat pencarian bot yang dinaiki lima individu yang hilang di laut sejak Ahad lalu. FOTO IHSAN JBPM
Mohd Roji Kawi


Kuching: Bot yang dinaiki lima individu yang masih hilang di laut sejak Ahad lalu berkemungkinan tidak hanyut hingga ke Indonesia walaupun jarak lokasi kejadian dengan perairan antarabangsa hanya dalam lingkungan 40 batu nautika.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, pihaknya dimaklumkan perkara itu oleh Badan SAR Nasional (BASARNAS) Indonesia, kelmarin.

Menurutnya, BASARNAS membuat perkiraan itu berdasarkan aliran arus laut ketika ini yang menghala ke arah Sarawak.

"Sejak operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) diaktifkan, kami turut berhubung dengan pihak berkuasa maritim negara jiran.

"Berdasarkan perkiraan BASARNAS, kemungkinan untuk bot yang dinaiki lima individu itu hanyut ke Indonesia adalah amat kecil.

"Bagaimanapun, BASARNAS terus memantau dan bekerjasama dengan komuniti maritim negara jiran itu jika menemui sebarang petunjuk berkaitan bot pemancing yang masih hilang itu," katanya.

Menurutnya, operasi CARILAMAT hari kelima, hari ini diperluaskan meliputi kawasan seluas 526.74 batu nautika.

Katanya, pihaknya juga memaklumkan kepada kapal dagang yang melalui perairan Sarawak untuk melaporkan kepada Pusat Mencari dan Menyelamat Malaysia (MRCC) Kuching jika menemui bot atau objek berkaitan, hanyut di laluan mereka.

"Sehingga kini, tiada sebarang petunjuk ditemui berkaitan bot berkenaan," katanya.

Media sebelum ini melaporkan sebuah bot membawa empat pemancing dan seorang tekong dilaporkan hilang di perairan Santubong antara Karang Berumput sehingga Tukun Bass, Ahad lalu.

Empat pemancing itu ialah Ng Ching Hui, 36; Christoper Teo, 32; Yap Tze Kang, 41 dan Leo Dy Lee Jiann Tarn, 35 manakala tekong, Khamizan Saidi, 40.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Oktober 2021 @ 3:42 PM