Kemasukan ke Sekolah Khusus tahun 2022, permohonan ke Tingkatan Satu boleh diakses dalam talian.
Kemasukan ke Sekolah Khusus tahun 2022, permohonan ke Tingkatan Satu boleh diakses dalam talian.
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Permohonan kemasukan ke sekolah khusus bagi Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat bagi tahun 2022 kini dibuka bermula Ahad ini sehingga 15 November depan.

Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan sekolah khusus yang dinyatakan itu termasuklah Sekolah Berasrama Penuh(SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Menengah Teknik (SMT), Kolej Vokasional (KV) dan Maktab Tentera Diraja (MTD).

"Bagi kemasukan ke Sekolah Khusus tahun 2022, permohonan ke Tingkatan Satu boleh diakses melalui pautan https//:spskt1.moe.gov.my manakala bagi permohonan ke Tingkatan Empat pula melalui pautan https//:spskt4.meo.gov.my.

"Permohonan secara dalam talian ini membabitkan SBP bagi Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat; SMKA (Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat), SMT (Tingkatan Empat), KV (Tingkatan Satu) dan MTD (Tingkatan Empat). Keputusan bagi permohonan ini akan diumumkan pada 15 Mac 2022," katanya tadi.

KPM mula memperkenalkan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) pada tahun ini bagi tujuan pemilihan murid untuk kemasukan ke Tingkatan Satu (1) dan Tingkatan Empat (4) Sekolah Khusus.

Dalam pada itu, KPM turut memaklumkan, semua pemohon boleh membuat semakan pusat pentaksiran bagi Tingkatan Satu dan Empat secara dalam talian bermula 1 Disember ini.

"Pentaksiran bagi Tingkatan Satu akan bermula dari 17 Januari hingga 27 Januari 2022, manakala Tingkatan Empat adalah 7 hingga 17 Februari 2022. Komponen akan ditaksir adalah kecerdasan insaniah (20 peratus), kecerdasan intelektual (70 peratus), dan artikulasi penulisan (10 peratus).

"Beberapa syarat permohonan diletakkan kepada mereka yang ingin memohon masuk ke sekolah khusus, iaitu warganegara Malaysia, mendaftar dalamn Sistem Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) KPM, murid Tahun Enam pada 2021, berusia 12 tahun atau lahir pada 2 Januari 2009 hingga 1 Januari 2010.

"Bagi permohonan Tingkatan Empat, pemohon mestilah murid Tingkatan 3 pada tahun 2021, berusia 15 tahun atau lahir pada 2 Januari 2006 atau 1 Januari 2007," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Oktober 2021 @ 3:24 PM