GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Semakan tawaran kemasukan ke Sekolah Khusus bagi Tingkatan Satu, Tingkatan Empat dan Tahun Satu Sijil Vokasional Malaysia (1SVM) boleh dibuat bermula 19 Mac ini.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), hari ini menerusi kenyataan berkata, pihaknya sudah melaksanakan proses pentaksiran kemasukan murid ke Sekolah Khusus berkenaan.

Katanya, ia membabitkan Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Menengah Teknik (SMT) dan Kolej Vokasional (KV), selain Maktab Tentera Diraja (MTD) di bawah Kementerian Pertahanan Malaysia untuk sesi 2021.

"Sehubungan itu, semakan tawaran kemasukan ke sekolah bagi Tingkatan Satu jenis SBP dan SMKA adalah pada 19 Mac 2021, manakala Tingkatan Empat jenis sekolah SBP, SMKA dan SMT pada 23 Mac 2021.

"Seterusnya bagi Tahun Satu SVM dan KV, semakan tawaran boleh dibuat pada 23 Mac 2021, manakala Tingkatan 4 MTD pula tarikh semakan temuduga adalah 23 Mac 2021," katanya.

Selain itu, semakan tawaran boleh dilakukan melalui pautan https//:spskt1.moe.gov.my bagi Tingkatan Satu dan https//:spskt4.moe.gov.my bagi Tingkatan Empat.

KPM menetapkan tarikh pendaftaran pelajar Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat ke Sekolah Khusus pada 6 April depan.

Maklumat lanjut berkaitan pendaftaran boleh diperoleh melalui pautan terbabit dan tarikh pendaftaran ke MTD akan dimaklumkan melalui laman sesawang www.rmc-education.edu.my/.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mac 2021 @ 7:56 PM